Membaca Ummul Kitab

Daripada Ubadah bin as-Samit r.a, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang mengerjakan satu solat yang ia tidak membaca padanya Fathatul Kitab maka solat itu kurang, kurang, tidak sempurna.”
Muslim dan Abu ‘Uwanah

Huraian

Membaca surah al-Fatihah merupakan salah satu daripada 13 rukun solat. Surah tersebut mestilah dibaca dengan makhraj yang betul. Barulah hati akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila dibaca ayat keempat dari Surah al-Fatihah yang bermaksud: “Tuhan yang memiliki hari Akhirat.” Maka tergambar segala kekalutan, kesibukan dan huru-hara manusia yang bersesak di padang Masyhar. Terasalah akan kekerdilan dan kelemahan diri di sisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah al-Fatihah yang bermaksud : “Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempat ku bermohon.” Bererti kita telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukan menjadi penyembah hawa nafsu atau selainnya. Ringkasnya membaca surah al-Fatihah dalam solat adalah wajib. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana dengan bacaan tersebut menjadikan diri kita insaf sekali gus menjamin kita daripada lalai di dalam solat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rumahku Syurgaku

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.”

al-Bukhari

Huraian

  • Rumahku syurgaku adalah rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.
  • Ada beberapa tempat, yang jika dilakukan ibadah di dalamnya, akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain seperti solat di Masjidil Haram, setara dengan seratus ribu solat di tempat lain. Solat di Masjid Nabawi, setara dengan seribu solat di tempat lain dan solat di Masjid al-Aqsa, setara dengan lima ratus kali solat di tempat lain. Solat yang paling utama dilakukan di masjid itu adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.
  • Waktu di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangun masyarakat muslim. Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabunagn isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Larangan Bercakap Semasa Mengerjakan Solat

Daripada Muawiyah bin al-Hakim Assalmi r.a. katanya,

“Pada suatu masa, aku sembahyang bersama Rasulullah SAW. Tiba tiba seorang dari jamaah bersin, aku pun mengucapkan “Yarhamukallah!” Semua ahli jamaah menjeling kepadaku, lalu aku berkata,
”Aduhai kesalnya aku! (didalam hati), Satu bencana akan menimpaku, kenapa kamu memandangku?”
Semua ahli jamaah memukul peha dengan tangan mereka. Setelah itu barulah aku mengerti bahawa mereka menghendaki aku diam, aku pun diam”.
Apabila Rasulullah SAW. selesai mengerjakan sembahyang, baginda tidak berkata apa-apa kepadaku. Demi bapa dan ibuku, tidak pernah aku berjumpa orang yang paling baik cara mengajarnya selain daripada Rasulullah. Demi Allah, baginda tidak memarahi, memukul dan mencelaku. Baginda hanya bersabda, “ Sesungguhnya semasa mengerjakan sembahyang tidak dibenarkan sedikitpun bercakap kerana sembahyang itu merupakan tasbih, takbir serta bacaan ayat-ayat al-Quran.”

Riwayat Muslim
(more…)

Kepentingan Menjaga Solat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

~ Riwayat at-Tirmidzi

Huraian

  1. Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.
  2. Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
  3. Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): ”Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Solat Penanda Aras Kekuatan Akhlak

Allah s.w.t. telah mewajibkan solat fardhu lima kali sehari semalam sebagai jadual Allah untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila kita ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah s.w.t. yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat daripada-Nya. Kekuatan solat ini akan menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur pematuhan kita kepada syariat Islam. Kelemahan kita dalam menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.

Justeru, betapa besar pengaruh solat terhadap kualiti keislaman ini, maka ingin diingatkan bahawa solat adalah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal yang paling mulia. Tertegaknya solat bermaksud tertegaklah agama, dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam dan jemaah sekalian digalak memulakan amalan solat semasa berumur tujuh tahun. Apabila telah berumur sepuluh tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Kalau ingkar mengerjakannya, maka diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Thahaa ayat 132:
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”
(more…)