The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Panduan Qunut Nazilah

Bacaan Qunut merujuk kepada doa yang dibaca di dalam solat pada tempat yang khusus sewaktu berdiri.

Qunut nazilah merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut mazhab syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan.

Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang belalang dan sebagainya. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini.

Cara Membaca Qunut Nazilah

  1. Qunut ini boleh dibacakan pada setiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.
  2. Qunut ini dibacakan pada waktu ‘iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir.
  3. Lafaz doa qunut nazilah adalah seperti di bawah.
  4. Sunat ditambah bacaan doa ini selepas bacaan qunut harian.
  5. Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan diaminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah.
  6. Sebagai peringatan, qunut nazilah hanya dibacakan apabila manusia ditimpa sesuatu musibah. Maka, solat fardhu selain solat subuh tidak dibaca qunut melainkan jika berlaku sesuatu perkara buruk.

(more…)

Rumahku Syurgaku

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.”

al-Bukhari

Huraian

  • Rumahku syurgaku adalah rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.
  • Ada beberapa tempat, yang jika dilakukan ibadah di dalamnya, akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain seperti solat di Masjidil Haram, setara dengan seratus ribu solat di tempat lain. Solat di Masjid Nabawi, setara dengan seribu solat di tempat lain dan solat di Masjid al-Aqsa, setara dengan lima ratus kali solat di tempat lain. Solat yang paling utama dilakukan di masjid itu adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.
  • Waktu di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangun masyarakat muslim. Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabunagn isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Larangan Bercakap Semasa Mengerjakan Solat

Daripada Muawiyah bin al-Hakim Assalmi r.a. katanya,

“Pada suatu masa, aku sembahyang bersama Rasulullah SAW. Tiba tiba seorang dari jamaah bersin, aku pun mengucapkan “Yarhamukallah!” Semua ahli jamaah menjeling kepadaku, lalu aku berkata,
”Aduhai kesalnya aku! (didalam hati), Satu bencana akan menimpaku, kenapa kamu memandangku?”
Semua ahli jamaah memukul peha dengan tangan mereka. Setelah itu barulah aku mengerti bahawa mereka menghendaki aku diam, aku pun diam”.
Apabila Rasulullah SAW. selesai mengerjakan sembahyang, baginda tidak berkata apa-apa kepadaku. Demi bapa dan ibuku, tidak pernah aku berjumpa orang yang paling baik cara mengajarnya selain daripada Rasulullah. Demi Allah, baginda tidak memarahi, memukul dan mencelaku. Baginda hanya bersabda, “ Sesungguhnya semasa mengerjakan sembahyang tidak dibenarkan sedikitpun bercakap kerana sembahyang itu merupakan tasbih, takbir serta bacaan ayat-ayat al-Quran.”

Riwayat Muslim
(more…)

Kepentingan Menjaga Solat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

~ Riwayat at-Tirmidzi

Huraian

  1. Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.
  2. Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
  3. Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): ”Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Azan Dua Kali

Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mempunyai dua orang juru azan, iaitu Bilal dan Ummu Maktum, baginda bersabda:

“Sesungguhnya Bilal bertugas untuk mengazankan sembahyang di waktu malam sebelum terbit fajar, oleh itu makan dan minumlah kamu semua (bersahur) sehinggalah Ummu Maktum azan yang menandakan masuknya waktu Subuh. Ibnu Umar r.a. berkata: “ Tidak ada jarak di antara kedua juru azan itu, melainkan jika Bilal telah selesai azan lalu disambung oleh Ummu Maktum pula, dalam jarak yang tidak terlalu lama”

al-Bukhari dan Muslim

Huraian

  1. Disunatkan umat Islam supaya melaungkan azan dua kali di mana azan pertama adalah sebagai pemberitahuan kepada umat Islam agar bersedia untuk menunaikan sembahyang Subuh, sedangkan azan yang kedua pula menandakan bahawa waktu Subuh telah masuk.
  2. (more…)