The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Pemergiannya Satu Istirahat

Abu Qatadah Ibnu Rib’i al-Ansari r.a menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu di hadapan Rasulullah SAW maka berkatalah baginda:

Orang yang beristirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya? Nabi menjawab : “Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya kepada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.”
al-Bukhari dan Muslim

Huraian
Sesungguhnya orang yang meninggal dunia itu terdiri dari dua golongan iaitu golongan orang yang beriman meninggal dunia menuju ke suatu tempat yang aman yang membahagiakan. Mereka sudah terlepas daripada kepayahan dan ujian dunia menuju kepada rahmat Allah SWT. Sedangkan orang yang buruk akhlaknya, kematiannya itu merupakan satu kerehatan untuk penghuni dunia daripada terus berhadapan dengan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukannya. Kematiannya dituruti dengan kesengsaraan dan balasan azab daripada Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Syahid Kerana Mempertahankan Harta

Daripada Abdullah ibn Amir r.a katanya :

“Aku mendengar nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia itu syahid.”

al-Bukhari 46:33 ; Muslim 1: 60

Huraian:

Orang yang meninggal dunia lantaran mempertahankan harta dihukum sebagai syahid di akhirat. Manakala syahid di dunia dan akhirat pula adalah khusus bagi mereka yang meninggal dunia (terkorban) dalam pertempuran iaitu demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Larangan Meminta-minta Mati

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.”

~ Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian

Pengajaran hadith:

  • Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
  • Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
  • Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Status Orang Mati Bunuh Diri

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
”Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya.”

Riwayat Abu Hurairah

Huraian

  1. Suatu topik yang sedang hangat terjadi dalam masyarakat hari ini ialah kejadian BUNUH DIRI. Dilaporkan bahawa puncanya adalah disebabkan kurangnya tahap didikan dan beratnya beban yang ditanggung oleh si pelaku.
  2. Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.
  3. (more…)

Mati Dalam Iman

Dari Jabir (bin Abdullah ) r.a katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
”Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat) menurut keadaan (aqidah atau imannya) ketika mati.”

Muslim

Huraian

“Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam” merupakan perintah Allah agar kita jangan mati kecuali dalam keadaan beriman dengan ajaran Islam kerana Allah SWT tidak akan menerima agama selain Islam, malah Islamlah satu-satunya agama yang diredhai-Nya.

Memang tidak dinafikan bahawa tiada sesiapa pun yang layak dan mampu memberikan hidayah kepada seseorang kecuali Allah yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.
(more…)