The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Integriti Ulama Umara Penentu Kekuatan Ummah

Salah satu perkara utama yang sering menjadi perhatian masyarakat dalam sesebuah negara Islam ialah sejauh mana dua golongan yang amat berpengaruh iaitu ulama’ dan umara’ berperanan memperkasakan ummah. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:

Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’’.

Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

Bandingan para ulama’ di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit yang dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar maka mereka yang berpandukannya nyaris sesat ”.

Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi”.
(more…)

Toleransi Dengan Orang Bukan Islam Suatu Tuntutan Dakwah

Sebagai agama yang sempurna, Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan cara hidup dalam masyarakat majmuk. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu pula Allah SWT mengajarkan konsep toleransi, dengan tujuan wujudnya perdamaian umat manusia di muka bumi ini.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An’aam ayat 108, maksudnya:

Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Kita ditegah mencemuh atau mengejek mereka, kerana mereka akan membalas penghinaan tersebut. Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.

Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.
(more…)

Jiran Sebagai Harta Yang Bernilai Tinggi

Kehidupan kita dalam seharian adalah seperti roda, sentiasa berputar, bergilir-gilir turun naik dan jatuh bangun. Hari ini kita senang dan mungkin esok kita mengalami kesusahan. Kita perlu ingat bahawa putaran hidup manusia adalah tidak menentu dan tidak dapat diramalkan nasibnya. Dengan demikian kita tidak boleh hidup secara bersendirian, tidak boleh mengasingkan diri dalam masyarakat.

Ajaran Islam menuntut kita bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memain peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, maka jiran samada kaya atau miskin adalah harta atau aset yang amat bernilai tinggi kepada kita sendiri dan masyarakat. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa’ ayat 36, Maksudnya:

“Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.
(more…)

Kasih Sayang Pupuk Kesejahteraan Ummah

Manusia secara tabienya dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai makhluk yang bersosial. Mereka sentiasa cenderung untuk bergaul sesama sendiri, bermuafakat, bertolong-tolongan untuk mendapat manfaat dan memenuhi keperluan diri. Secara zahirnya tidak mungkin manusia itu hidup sendirian tanpa apa-apa hubungan dengan manusia lain.

Persoalan besar timbul ialah walaupun manusia itu pada fitrahnya bersosial tetapi mengapa mereka hidup bermusuhan, bunuh membunuh, dan menzalimi sesama keluarga, jiran tetangga, masyarakat, dan terhadap makhluk Allah yang lain. Ini bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. bahawa Islam adalah agama kasih sayang sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Bashir r.a:

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang,berkasihan belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.”
(more…)