The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Kafir Dzimmi Dan Kafir Harbi

Dalam konteks kehidupan beragama di negara ini penduduknya terdiri daripada Islam dan bukan Islam. Menurut syariat Islam, pada dasarnya terdapat dua jenis status orang bukan Islam atau Non-muslim iaitu Kafir Harbi dan Kafir Dzimmi.

Secara ringkasnya Kafir Harbi adalah merujuk kepada orang bukan Islam yang terlibat dalam peperangan membunuh orang Islam di dalam wilayah yang bergolak. Pada masa ini, mimbar amat meyakini terdapat ejen-ejen kafir harbi yang bergerak secara senyap menimbulkan perpecahan atau pun menggunakan isu-isu agama di negara Islam. Contoh jelas ialah apa yang berlaku di beberapa negara Asia Barat.

Manakala orang Kafir Dzimmi pula merujuk kepada orang bukan Islam yang menetap dalam negara Islam, mendapat kerakyatan, membayar cukai yang ditetapkan dan mendapat jaminan keamanan daripada pemerintah Islam berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.

Persoalan besar timbul ialah apakah jenis status orang bukan Islam yang terdapat di negara kita samada digolongkan sebagai Kafir Harbi atau Kafir Dzimmi. Berdasarkan pemerhatian, status orang bukan Islam di negara ini digolongkan sebagai ahli Dzimmi kerana pada prinsipnya mereka mentaati dan mengakui untuk tunduk kepada perjanjian kontrak sosial yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

(more…)

Gerhana Matahari Satu Peringatan

Sesungguhnya kejadian gerhana bulan dan matahari adalah dua tanda yang membuktikan bekesaran, keluasan, kehebatan ciptaan, dan kasih sayang Allah SWT kepada umat manusia. Dua minggu lalu kita menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui kejadian gerhana bulan. Hari ini, kita sekali lagi berpeluang menyaksikan pula kejadian gerhana matahari yang jatuh pada hari Jumaat di bulan Muharram 1431.

Dengan mengamati kehebatan dan kesempurnaan sistem perjalanan bulan dan matahari ini, maka akan semakin tinggi ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Walaupun ada di kalangan sesetengah pihak mengatakan kejadian ini sebagai fenomena astronomi dan sifat alam semulajadi, tetapi Islam mengajar umatnya agar menjadikan kejadian yang jarang-jarang berlaku ini sebagai peluang meyingkap tanda keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Allah SWT telah banyak menyebut tentang kebesaran dan kekuasaan-Nya ke atas kejadian langit, bumi dan apa juga yang ada di antara kedua-duanya. Tidak ada satu zarah pun dari alam cakerawala ini yang terlepas dari pengawasan Allah termasuk matahari. Tabiat matahari yang beredar di atas paksinya adalah bukti kepatuhan makhluk ini kepada ketentuan Allah SWT.

(more…)

Pencegahan Jenayah Juvana

Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia melibatkan dosa besar. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai kesan tertentu dari segi hukuman.

Masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Tambahan pula kes-kes jenayah juvana kian meningkat di negara kita banyak melibatkan pelajar. Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan bahawa pada tahun 2008 sebanyak 5,115 kes juvana yang melibatkan seramai 7,126 orang kanak-kanak dan remaja.

Apa yang menyedihkan, purata umur kes-kes juvana ini antara umur 7 hingga 18 tahun adalah sangat muda berbanding dengan usia jenayah yang dilakukan. Sehingga ini kelompok umur 16 hingga 18 tahun antara yang tertinggi iaitu 5,146 orang di mana melibatkan kes curi motosikal, mencuri, pecah rumah, rogol, dan samun.
(more…)

Mewarisi Tugas Rasulullah SAW

Semua nabi dan rasul sama ada yang disebutkan dalam al-Qur’an atau tidak adalah mengajar kepercayaan agama yang sama iaitu agama yang Allah SWT namai dengan Islam. Justeru itu, semua nabi dan rasul itu beragama Islam. Begitu juga dengan pengikut-pengikut mereka.

Bagaimanapun Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya rasul yang telah melengkapkan dan mendaulatkan agama Islam di muka bumi untuk seluruh umat manusia dan untuk digunapakai dalam semua zaman. Sedangkan rasul-rasul sebelumnya hanya diberi tugas untuk membimbing kaum-kaum tertentu dan pada masa-masa tertentu sahaja.

Ini dapat kita fahami di mana sebelum Rasulullah SAW wafat, al-Qur’an ada menyatakan bahawa agama Allah telah disempurnakan, kecintaan Allah kepada semua orang yang beriman telah dilengkapkan dan kebenaran wahyu Allah akan terus dijaga.
(more…)

Integriti Dalam Kepimpinan Rasulullah SAW

Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi.

Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Mafhumnya: “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.

Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran ‘al-Amin’ kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran ‘al-Amin’ ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Rasulullah SAW.
(more…)