The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

10 Malam Terakhir Meriahkan Dengan Ibadat

Aisyah r.a berkata :

“Nabi SAW apabila memasuki puluhan yang akhir, baginda mengikat pinggangnya (tekun beribadah) menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.”

al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Apabila telah memasuki puluhan terakhir bulan Ramadhan Rasulullah SAW akan lebih tekun dalam melakukan ibadah dan menjauhi isteri-isteri baginda. Baginda terus berjaga malam serta membangunkan ahli keluarga untuk turut bersama-sama melakukan qiamullail.

Namun sebaliknya kita apabila semakin menjelang Syawal dan semakin beransurnya Ramadhan akan memeriahkan siang dan malam dengan membuat bermacam-macam persediaan menyambut hari raya. Membuat aneka biskut, kek, lauk pauk dan sebagainya.

Mengapa tidak kita mengikut sunah Rasulullah ini dan menghidupkan malam–malam di bulan Ramadhan ini dengan aneka rupa ibadat serta mengajak ahli keluarga untuk turut sama memeriahkannya kerana hal ini lebih bermakna untuk hari raya kita di akhirat kelak!

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menolak Secara Baik

Dari Zuhairi r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:

”Apabila kamu diundang orang makan, padahal kamu puasa, jawablah:”Aku berpuasa!”

Muslim

Huraian

Puasa merupakan ibadat yang mulia di sisi Islam dan mempunyai ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T. Maka apabila seseorang itu berpuasa hendaklah ia menjaga puasanya itu daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa terutamanya makan dan minum dengan sengaja.

Namun sebagaimana diketahui umum, puasa adalah merupakan ibadat rahsia di antara hamba dengan tuhannya (bukan untuk menunjuk-nunjuk) maka apabila seseorang itu diundang makan sedangkan ia berpuasa hendaklah ia menolak undangan tersebut dengan cara yang baik dan mengemukakan sebabnya iaitu bahawa ia sedang berpuasa.
(more…)

Kepentingan Menjaga Solat

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

~ Riwayat at-Tirmidzi

Huraian

  1. Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.
  2. Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
  3. Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): ”Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia