Pulang Daripada Haji Dengan Perubahan

Ibadat haji merupakan suatu rukun Islam yang lima dan kewajiban yang mesti ditunaikan bagi yang berkemampuan. Beruntunglah mereka yang bakal menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Mereka ini tentunya sudah mempersiapkan diri dari awal lagi hingga memasuki hari berangkat ke tanah suci kerana ibadah haji merupakan suatu pengorbanan yang melibatkan rohani, jasad dan juga harta.

Jemaah haji yang pergi menunaikan ibadat haji sebenarnya sedang berhadapan dengan untung nasib mereka di akhirat. Mereka meninggalkan pakaian yang berjahit, menitiskan air mata keinsafan di Padang Arafah, melaungkan kata-kata taubat dan penyesalan dengan semua bahasa manusia yang ada di bumi ini. Bersama-sama bermalam di Muzallifah, berlumba-lumba melontar Jamrah serta berusaha tawaf dan bersai tanpa mengenal erti penat dalam menghadapi rintangan dan cabaran semasa mengerjakan haji.

Setiap jemaah yang baru selesai menunaikan rukun Islam yang kelima itu pastinya berdebar-debar untuk pulang bertemu keluarga masing-masing. Pelaksanaan ibadat haji telah pun selesai, mereka sekarang boleh digelar haji di depan nama-nama mereka. Setiap orang yang pergi menunaikan haji pastinya mengharapkan untuk mendapat haji yang mabrur.
(more…)