Menghargai Zaman Mudamu

Setiap negara pasti mengharapkan untuk mempunyai rakyat yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan dan keamanan. Semua itu hanya dapat dicapai dan diperolehi jika rakyat negara itu mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul serta cemerlang; sama ada melalui generasi muda belia atau pun generasi tua.

Kementerian Belia dan Sukan mentakrifkan belia sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 25 tahun, dan ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Manakala Islam pula mentakrifkan belia sebagai satu fasa umur alam baligh yang menerima tanggungjawab (taklif) atas setiap perbuatan yang dilakukan. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang. Angka ini memberi gambaran bahwa negara akan menghadapi cabaran hebat dalam aspek pembinaan dan pengurusan belia di masa hadapan.

Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Justeru itu adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredhai Allah s.w.t. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk mempunyai belia yang berkualiti sebagaimana yang diharapkan melalui tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan.
(more…)