The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Tafsiran Mimpi

Dari Samurah r.a diceritakannya daripada Nabi s.a.w perihal mimpi. Sabda Nabi s.a.w:
Sesiapa yang bermimpi seolah-olah kepalanya dipukul orang dengan batu, ertinya orang itu mempelajari al-Quran tetapi tidak diamalkannya dan solat wajib ditinggalkannya.”
~ Bukhari

Huraian
Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran terhadap sesuatu yang akan berlaku kerana Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan belaka.

Namun bagi orang yang jauh dari keimanan, tidak solat, tidak mengambil wuduk dan membaca doa ketika ingin tidur contohnya, kebanyakan mimpi yang datang hanyalah berita yang disebarkan oleh syaitan.

Namun jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar individu tersebut (yang jauh dairpada kebenaran) menjadi insaf dan kembali ke jalan yang benar.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Membaca Ummul Kitab

Daripada Ubadah bin as-Samit r.a, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang mengerjakan satu solat yang ia tidak membaca padanya Fathatul Kitab maka solat itu kurang, kurang, tidak sempurna.”
Muslim dan Abu ‘Uwanah

Huraian

Membaca surah al-Fatihah merupakan salah satu daripada 13 rukun solat. Surah tersebut mestilah dibaca dengan makhraj yang betul. Barulah hati akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila dibaca ayat keempat dari Surah al-Fatihah yang bermaksud: “Tuhan yang memiliki hari Akhirat.” Maka tergambar segala kekalutan, kesibukan dan huru-hara manusia yang bersesak di padang Masyhar. Terasalah akan kekerdilan dan kelemahan diri di sisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah al-Fatihah yang bermaksud : “Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempat ku bermohon.” Bererti kita telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukan menjadi penyembah hawa nafsu atau selainnya. Ringkasnya membaca surah al-Fatihah dalam solat adalah wajib. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana dengan bacaan tersebut menjadikan diri kita insaf sekali gus menjamin kita daripada lalai di dalam solat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Beramal Dengan Surah Al-Kahfi

Daripada al-Barra r.a katanya:

Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : “ Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran.”
al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi

Huraian
Dalam surat al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi, (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s serta kisah DZulkarnain dan Ya’juj dan Ma’juj. Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).
(more…)

Jangan Kedekut Atau Tamak

Abu Hurairah r.a berkata:

Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW maka bertanyalah ia:
“Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?
Nabi menjawab: “Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila roh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau: “Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si polan itu telah memilikinya
.”
al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Islam menganjurkan kita agar bersedekah dalam keadaan sihat. Kerana sesungguhnya bersedekah dalam keadaan sihat itu lebih besar pahalanya daripada bersedekah dalam keadaan sakit dan menampakkan lagi keikhlasan kita dalam melakukan kebajikan di jalan Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Hakikat Orang Yang Miskin

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Bukanlah orang miskin, orang yang pergi dari rumah ke rumah, dia dapat ditolak oleh sesuap dan dua suap makanan, sebiji kurma dan dua biji kurma. Akan tetapi orang yang miskin itu ialah orang yang tidak memperoleh kecukupan yang dapat mencukupkan keperluannya dan tidak diketahui orang tentang kemiskinannya yang menyebabkan orang memberi sedekah kepadanya. Dan dia pula tidak pergi meminta ke sana ke mari (tidak mengulang-ulangi permintaannya kepada orang lain). ”

al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Orang yang miskin adalah orang yang tidak mempunyai kecukupan dan tidak mahu menampakkan kemiskinannya kepada orang lain. Dia tidak mengemis ke sana sini sebaliknya berusaha mencari pendapatan sendiri. Orang sebeginilah yang layak menerima sedekah dan mendapat bantuan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia