Panduan Qunut Nazilah

Bacaan Qunut merujuk kepada doa yang dibaca di dalam solat pada tempat yang khusus sewaktu berdiri.

Qunut nazilah merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut mazhab syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan.

Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang belalang dan sebagainya. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini.

Cara Membaca Qunut Nazilah

  1. Qunut ini boleh dibacakan pada setiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.
  2. Qunut ini dibacakan pada waktu ‘iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir.
  3. Lafaz doa qunut nazilah adalah seperti di bawah.
  4. Sunat ditambah bacaan doa ini selepas bacaan qunut harian.
  5. Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan diaminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah.
  6. Sebagai peringatan, qunut nazilah hanya dibacakan apabila manusia ditimpa sesuatu musibah. Maka, solat fardhu selain solat subuh tidak dibaca qunut melainkan jika berlaku sesuatu perkara buruk.


Ada tiga cara membaca doa tersebut. Imam boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:

  1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.
  2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja.
  3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah .

Peringatan:

  • Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa nazilah ini boleh dibaca selepas solat.
  • Imam hendaklah meberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut.

Doa Qunut Nazilah

Maksudnya;

‘Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Trackbacks Comments
Leave a Comment