Fatwa ESQ Leadership Training

Berikut merupakan kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Professor Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Syukor bin Hj Husin mengenai isu Kursus ESQ Leadership Training pada 14 Julai yang lalu. Sidang media tersebut telah dihadiri oleh hampir 50 wartawan dari seluruh akhbar nasional dan tabloid termasuk akhbar Indonesia.

KENYATAAN MEDIA – ESQ Leadership Training

  1. Sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri. Muzakarah menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri termasuklah fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. Merujuk kepada isu kursus ESQ Leadership Training yang diasaskan oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian, suka saya memaklumkan bahawa Muzakarah telah membincangkan isu ini sebanyak 7 kali bermula pada April 2009 sehinggalah dimuktamadkan pada 16 Jun 2010. Kajian telah dibuat oleh Jakim dan Panel Pemantau ESQ yang ditubuhkan oleh Jakim. Selain itu, Muzakarah juga telah mengadakan perbincangan dan dialog dengan pihak pengurusan tertinggi ESQ yang dihadiri oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian bersama Panel Syariah ESQ yang dipengerusikan oleh Dato’ Mustafa Abd. Rahman, mantan Ketua Pengarah Jakim.
  3. Setelah meneliti hasil kajian dan pandangan daripada Panel Pemantau Jakim dan penjelasan-penjelasan daripada pihak ESQ, maka Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 16 Jun 2010 telah memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh Panel Syariah yang dilantik oleh ESQ. Keputusan ini dibuat setelah Muzakarah berpuashati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan diperjelaskan.
  4. Muzakarah juga memutuskan supaya pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti/perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan Syariat Islam.
  5. Muzakarah juga bersetuju membuat ketetapan bahawa Panel Syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan tersebut hendaklah dilaporkan secara berterusan kepada Muzakarah.
  6. Keputusan Muzakarah ini juga dibuat berasaskan pertimbangan-pertimbangan berikut:
    1. Ahli-ahli Muzakarah bersetuju mengambil pendekatan berbincang, mendidik dan memperbetulkan apa jua keraguan yang ditimbulkan daripada terus menghukum.
    2. Sikap keterbukaan dan kesediaan pihak Eksekutif ESQ dan Panel Syariah ESQ untuk berbincang dan menerima teguran serta pembetulan terhadap apa jua yang difikirkan boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam. Selain itu, program ESQ juga dijalankan secara terbuka dan sesiapa sahaja boleh mengikuti dan memberi komen.
    3. 8 orang Mufti yang merupakan ahli Muzakarah dan beberapa orang Timbalan Mufti telah menyertai program ESQ dan telah memaklumkan bahwa tiada unsur-unsur percanggahan terhadap prinsip-prinsip asas akidah dan syariah Islam.
    4. Panel Syariah ESQ yang dilantik oleh pihak ESQ yang terdiri daripada Dato’ Mustafa Abd. Rahman (mantan Ketua Pengarah Jakim), Dato’ as-Sheikh Nooh bin Gadut (Penasihat Majlis Agama Johor), Dato’ Paduka Sheikh Hasbullah bin Abdul Halim (mantan Mufti Kedah), Tan Sri Kadir Talib (mantan Mufti W. Persekutuan) dan Dr. Adnan Yusof (Dekan Fakulti al-Quran dan Sunnah USIM) merupakan tokoh-tokoh agama dan ahli akademik yang sememangnya telah lama berkecimpung dalam bidang keilmuan Islam. Muzakarah menghormati keilmuan tokoh-tokoh ini dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka untuk menilai kandungan program ESQ.
    5. Pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh para ulama’ dan persatuan Islam Indonesia seperti Nahdatul Ulama’, Majelis Ulama Indonesia, Ikatan Cendikiawan Muslim Se-Indonesia, Persatuan Muhammadiah, Dewan Dakwah Islamiah Indonesia bahawa kandungan program ESQ tidak mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat Islam.
    6. Program ESQ ini juga telah dilaksanakan di beberapa negara Islam lain seperti Brunei dan Arab Saudi, juga di Singapura. Tokoh-tokoh agama, ahli-ahli politik, ahli-ahli akademik dan pelbagai peringkat ahli profesional, artis, pelajar dan sebagainya telah mengikuti program ESQ . Tidak dinafikan ia telah membantu peserta membina peribadi yang lebih baik dan cemerlang.
  7. Di sini juga ingin saya menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Muzakarah tidak mempunyai kuatkuasa dari segi undang-undang dan hanya bersifat pandangan hukum, terpulanglah kepada pihak negeri untuk menerima pakai atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan Muzakarah perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri. Matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum hakam yang dikeluarkan di Malaysia.
  8. Suka juga saya memaklumkan bahawa dalam apa jua isu hukum hakam yang dibincangkan, Muzakarah lebih mengutamakan pendekatan berbincang dan membuat keputusan secara jama’i.

Sekian, terima kasih.

PROF. TAN SRI DATO’ DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN

PENGERUSI

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA

14 Julai 2010

Berikut pula adalah Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengenai kedudukan Kursus ESQ Leadership Training;
Fatwa Kebangsaan 2010 – ESQ Leadership Training

Leave a Comment