The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Integriti Ulama Umara Penentu Kekuatan Ummah

Salah satu perkara utama yang sering menjadi perhatian masyarakat dalam sesebuah negara Islam ialah sejauh mana dua golongan yang amat berpengaruh iaitu ulama’ dan umara’ berperanan memperkasakan ummah. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:

Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’’.

Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

Bandingan para ulama’ di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit yang dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar maka mereka yang berpandukannya nyaris sesat ”.

Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi”.
(more…)

Melihat Allah

Salah satu nikmat besar yang Allah beri kepada manusia ialah dapat melihat alam nyata yang wujud di hadapan kita ini. Kita dapat melihat dengan mata kasar makhluk-makhluk Allah seperti manusia itu sendiri, gunung ganang, matahari, bulan, bintang, bumi dan sebagainya. Hakikatnya kewujudan makhluk-makhluk Allah ini tidak sempurna kerana berdasarkan kajian sains tempoh kewujudan alam ini terbatas, ruang lingkupnya terhad, ukuran tinggi rendahnya terbatas, dan tempoh hayatnya juga terbatas.

Dalam Islam Allah adalah zat yang mencipta alam ini. Sebagai pencipta alam, maka Allah memiliki kesempurnaan sifatnya, ia tidak terikat dengan sebarang batasan, tidak terbatas tinggi-rendahnya-Nya, tidak terbatas kekuasaan-Nya, tidak terbatas ruang waktunya dan segala-galanya tidak terbatas. Oleh itu, Allah dalam Islam adalah ghaib dari kita dan kita tidak dapat melihat Allah.

Kalau kita pergi ke kedai-kedai tertentu atau kita singgah di rumah-rumah ibadat agama lain kita boleh melihat wajah-wajah Tuhan dalam pelbagai ragam, tinggi, rendah, mempunyai ruang lingkup dan sebagainya. Tuhan boleh dilukis dan direka bentuk. Apa yang jelas tuhan-tuhan berkenaan mempunyai batasan dan had-had tertentu. Malah penganut agama berkenaan boleh melihat dan mengenali tuhan mereka secara nyata. Bagaimana pun persoalan besar timbul ialah apakah kita boleh melihat Allah Yang Maha Esa di dunia ini.
(more…)