Yoga

Yoga Masa Kini

Kebelakangan ini, senaman yoga telah menjadi satu budaya baru dalam masyarakat di negara ini bagi membina kesihatan mental dan fizikal. Senaman yoga menurut pengamalnya didakwa boleh menghilangkan tekanan fikiran dan perasaan di samping menyihatkan dan mencantikkan tubuh badan.

Bagi tujuan ini banyak pihak tampil ke hadapan untuk mempersembahkan teknik-teknik berserta faedah senaman yoga. Sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai termasuk umat Islam menyebabkan perniagaan berasaskan yoga telah menjadi semakin tersebar luas. Iklan berkenaan yoga memenuhi laman web, kedai buku, artikel-artikel di dalam majalah serta penubuhan pusat-pusat latihan yang mengendalikan senaman yoga.

Pusat-pusat latihan yoga didapati tumbuh dengan pesat di seluruh negara. Kebanyakan penganjur dan pengajar senaman yoga terdiri daripada kalangan bukan Islam, namun demikian terdapat juga segelintir umat Islam turut terlibat dalam pengajaran yoga.

Dalam kepelbagaian teknik yoga yang dipersembahkan kepada orang ramai, ia mempunyai unsur-unsur penyelewengan aqidah. Contohnya, kaedah yang dibawa oleh Sahaja Yoga Malaysia jelas boleh membawa kepada syirik dan pluralisme agama. Menurut pengasas yoga ini, iaitu Shri Mataji Nirmala Devi, Sahaja Yoga mampu menyatukan inti kepada semua agama. Dalam upacara yoga yang dilaksanakan pula, pelajar diminta supaya menatap gambar wajahnya, serta menyebut dengan sepenuh hati, “Ibu (gelaran bagi beliau), berikanlah aku kesedaran diri (self-realisation).” Pertubuhan ini dilihat telah berjaya mengembangkan pusat-pusat latihannya hampir ke seluruh negara.

Sesetengah yoga lain pula, seperti Talltree Yoga mendakwa yoga ialah penyatuan tenaga tersendiri dengan tenaga yang berada di luar, iaitu tenaga alam sekitar. Ini bermakna yoga ialah koleksi teknik dan amalan kerohanian bertujuan untuk menyepadukan pemikiran, badan, jiwa, emosi dan kepercayaan.

Fenomena yoga yang dikatakan mampu mengambil alih peranan agama bagi mengisi kekosongan jiwa dan rohani manusia ini telah melahirkan kebimbangan kepada umat beragama. Sebagai contoh, pada tahun 2004, pemimpin Gereja Roman Katholik telah memberi amaran kepada penganut Kristian supaya berhati-hati terhadap senaman yoga yang dikatakan boleh mengikis amalan ibadat menurut agama Kristian. BBC News melaporkan kenyataan berikut:
“The Roman Catholic Church has warned Christians against resorting to New Age therapies to satisfy their spiritual needs. Publishing the results of a six-year study of practices such as yoga, feng shui and shamanism, the Vatican said that whatever the individual merits of such therapies, none provided a true answer to the human thirst for happiness. New Age is a misleading answer to the oldest hopes of man, Cardinal Paul Poupard”.

(Rujuk http://news.bbc.co.uk/2/hi/europe/2722743.stm, dilayari pada 7 April 2008)

Pengertian Yoga

Yoga ialah perkataan Sanskrit yang mempunyai banyak makna (Apte, Vaman Shivram (1965). The Practical Sanskrit Dictionary. Delhi: Motilal Banarsidass Publishers, p.788). Ia berasal daripada bahasa Sanskrit yuj, bermaksud mengawal, menyambung atau menyatu (Flood, Gavin (1996). An Introduction to Hinduism. Cambridge: Cambridge University Press, p.94). Yoga dari segi istilah ialah union; kesatuan; sambungan atau ‘kuk’ roh individu dengan roh alam semesta; penyatuan dengan roh Ilahi (John Ferguson, An Illustrated Encyclopedia of Mysticism, “Atman”, New York: Seabury Press, 1977, p.20).

Sumber Ilmu Yoga

Pengajaran Yoga terdapat dalam kitab suci agama Hindu, iaitu Bhagavad Gita. Nama ‘Bhagavad Gita’ bermaksud ‘lagu tuhan’, dan ‘Bhagavat’ merupakan gelaran Krishna. Dalam konteks Bhagavad Gita, perkataan ‘yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman).

Menurut Bhagavad Gita, tujuan hidup adalah untuk membebaskan fikiran dan intelek daripada kerumitan masing-masing, dan untuk menumpukan kedua-dua ini kepada kemuliaan diri melalui penujuan tindakan kepada Tuhan. Tujuan ini dapat dicapai melalui yoga-yoga tafakur, tindakan, pengabdian, dan pengetahuan. Gita memerihalkan
bahawa Yoga yang terbaik ialah yoga yang sentiasa berfikir dalam-dalam tentang Tuhan. Krishna meringkaskan yoga dalam lapan belas bab.

Terdapat empat jenis yoga, iaitu Raja Yoga atau Tafakur Psikofizikal , Bhakti Yoga atau Pengabdian, Karma Yoga atau Tindakan Tanpa Mementingkan Diri dan Jnana Yoga atau Pengetahuan Mengatasi Diri.

Setiap laluan berbeza, tujuan asas masing-masing adalah sama sahaja, iaitu untuk menyedari bahawa Brahman (Intipati Ketuhanan) merupakan kebenaran tunggal, badan mempunyai batas waktu dan Tuhan Yang Maha Agung (Paramatman) adalah tidak terhad.

Tujuan Yoga (nirvana atau moksha) adalah untuk melepaskan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad. Terdapat tiga peringkat dalam kesedaran diri yang diberikan dalam Bhagavad Gita, iaitu; Brahman: tenaga sejagat yang tidak bersifat peribadi; Paramatma: Tuhan yang berada di pusat setiap hidupan; dan Bhagavan: Tuhan sebagai satu personaliti, dengan bentuk transendental (Kertas Yoga pada mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-31/2005 & 35/2007 oleh Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim & http://ms.wikipedia.org/wiki/Kandungan_Bhagavad_Gita, dilayari pada 7 April 2008).

Yoga Menurut Agama Bukan Islam

Yoga Hindu
Mengikut Yoga Hindu, seseorang itu boleh bersatu dengan Tuhan semasa roh masih berada dalam badan, iaitu semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini (James McCartney, 1969, Yoga The Key to Life, New York: E.P. Dutton & Co., Inc., p.2). Selepas seseorang itu mati, rohnya akan hidup semula ke dalam jasad lain. Keadaan ini berterusan sehingga sampai ke tahap suci yang layak bersatu dengan Tuhan – Brahma.

Jalan keluar daripada dukkha dan samsara yang berterusan ini ialah melalui belajar cara-cara mengamalkan Yoga yang betul (John Ferguson, 1977, An Illustrated Encyclopedia of Mysticism, “samsara”, New York: Seabury Press, p.163 & Armstrong, K, A History of God, New York: Ballantine Books, 1993, p. 32).

Yoga Buddha
Hasil daripada pertapaannya, Gautama Buddha mendapat Kegemilangan Rohaniah (Enlightened). Hasil daripada terlepas dirinya daripada kenyataan hidup di dunia ini ialah tidak lain daripada dukkha dan samsara.

Yoga Yahudi
Yahudi yoga menggunakan cara yang sama seperti latihan bernafas, membaca mentera dan melakukan kedudukan badan yang berbagai-bagai yang disebut Asana demi hendak mencapai sejenis keadaan kesedaran consciousness (Armstrong, K, . A History of God, New York: Ballantine Books, 1993, p. 250.).

Yoga Kristian
Matlamat Yoga Kristian ialah “Kesatuan Roh dengan Tuhan”, bererti yoga sesuai dengan Kristian. Yoga Kristian mengatakan bahawa seseorang itu bersatu dengan Tuhan selepas mati. Ini berbeza dengan Yoga Hindu yang mengatakan bahawa manusia boleh bersatu dengan Tuhan semasa roh masih ada dalam badan, iaitu semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini (James McCartney, 1969, Yoga The Key to Life, New York: E.P. Dutton & Co., Inc., p.2.).

Bersambung…. Jenis-jenis Senaman Yoga

Trackbacks Comments
  • Imade Lebih Umbarayana:

    pandangan hindu kenapa roh/atma bisa bersatu dgn tuhan sewaktu masih hidup disebabkan karena keyakinan menurut hindu Tuhan bersemayam di setiap ciptaanNya, tuhan bersifat wyapi wyapaka atau tuhan ada dimana2 dan acintya atau tak terpikirkan,inilah dasar kenapa hindu menganngap semua mahluk hidup bersaudara atau vasudeva kutumbakan.

Leave a Comment