Taubat Nasuha Pelengkap Takwa

Kini kita hampir meninggalkan Ramadan. Bermakna dalam tempoh sebulan ini, kita telah berjaya mematuhi perintah, hukum hakam, dan semua peraturan Allah SWT berkait dengan perintah berpuasa. Mimbar amat yakin para jemaah dan umat Islam sekalian sudah boleh membuat penilaian dan pengukuran prestasi puasa sama ada berada ditahap cemerlang, memuaskan, baik, kurang baik atau amat lemah.

Mengikut sunnatullah atau ‘standard’ piawaian Allah SWT, puasa Ramadan selama sebulan ini adalah cukup untuk memperbaiki dan mengukuhkan akhlak ummahnya. Sekiranya terdapat para jemaah atau muslim tidak berupaya melakukan perubahan kepada diri sendiri dalam bulan yang berkat ini, maka ia adalah satu kerugian besar.

Justeru dalam hari-hari terakhir Ramadan yang berkat dan ketika pintu taubat masih terbuka luas, maka dinasihatkan umat Islam sekalian, marilah kita menutup tirai Ramadan dengan melakukan taubat nasuha bagi memantapkan lagi ketakwaan kita. Taubat nasuha adalah taubat yang tertinggi darjatnya di sisi Allah SWT.

Taubat nasuha ialah taubat yang murni di mana seseorang itu bertaubat daripada dosa yang dilakukannya dahulu atau sekarang. Mereka benar-benar menyesal dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Apa yang jelas sepanjang bulan Ramadan kita memohon keampunan Allah yang Maha Penyayang diikuti dengan amal soleh. Selain itu, kita juga dapat bermaaf-maafan dengan saudara seislam sepanjang menghadiri solat berjemaah di masjid dan surau.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 8, Maksudnya:

Hai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka; mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah cahaya bagi kami dan ampunlah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Berdasarkan ayat tadi, taubat nasuha adalah taubat yang benar dan bersungguh-sungguh. Oleh itu bagi memastikan taubat itu adalah nasuha, maka beberapa syarat hendaklah dipatuhi iaitu:

  1. Meninggalkan terus segala perkara maksiat sama ada kecil atau besar.
  2. Menyesal atas segala dosa yang lalu.
  3. Bertekad untuk tidak mengulangi semula dosa-dosa tersebut.

Ketiga-tiga syarat tadi adalah bagi dosa kita dengan Allah SWT, tetapi bagi dosa kita sesama manusia pula di tambah syarat yang keempat iaitu wajib memohon kemaafan sebagai cara bertaubat. Sekiranya salah satu syarat ini tercicir, nescaya tidaklah dinamakan taubat nasuha. Bagi mengawal tanda aras taubat nasuha ini, sesetengah ulama ada mengatakan bahawa hendaklah ditambah syarat kelima iaitu ikhlas kerana Allah SWT barulah ia lebih sempurna.

Sikap bersabar adalah sebahagian tanda-tanda orang beriman dan bertakwa. Oleh itu, sempena dengan sambutan Idulfitri yang bakal menjelang tiba, ingin menasihatkan umat Islam sekalian supaya bersabar dan berhati-hati semasa membawa kenderaan untuk pulang ke kampung halaman. Dalam musim perayaan ini, ibu bapa dan kaum kerabat di kampung dan penumpang dalam kenderaan mengharapkan sampai dengan selamat dan bukannya berita buruk seperti kematian atau kecacatan sepanjang hayat.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Sikap yang dilakukan pada bulan September 2008 mendapati sebanyak 15,996 kemalangan telah dicatatkan. Dari jumlah ini sebanyak 186 kes kemalangan maut yang melibatkan 208 kes kematian telah berlaku. Apa yang menyedihkan ialah jumlah korban tertinggi adalah penunggang motosikal iaitu 58% atau 121 kes. Menurut sumber PDRM, punca utama kecelakaan di musim perayaan ialah kelalaian manusia sendiri.

Sebagai orang yang beriman dan bertakwa, sikap banyak bersabar, mematuhi peraturan jalanraya, menjaga keselamatan diri dan orang lain, mematuhi arahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia serta agensi yang lain, akan menjadi pelengkap kepada nilai ketakwaan seseorang terhadap Allah SWT. Mudah-mudahan amalan bersabar di jalanraya dapat mengelakkan kecelakaan berlaku di saat kita ingin menyambut hariraya.

Akhirnya sekali lagi diseru, marilah kita sama-sama bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Di akhir ‘Syahrul Maghfirah’ ini, marilah kita perbaharui taubat dan yang belum bertaubat bersegera memohon keampunan Allah SWT. Ini sesuai dengan roh hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud,

Ramadan awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya dibebaskan daripada api neraka”.

Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.”
(Surah al-Furqan:70-71)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment