Pekerja Sebagai Ejen Perubahan

Pekerja atau buruh ialah seseorang yang bekerja dengan menerima upah atau ganjaran dalam pelbagai bentuk. Sama ada ganjaran itu tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, hakikatnya kita adalah pekerja. Kita bekerja berdasarkan matlamat yang sangat penting iaitu membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.

Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk membawa perubahan menuju kecemerlangan ini?. Kecemerlangan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Justeru, kecemerlangan seluruh warga Malaysia umumnya, dan kakitangan awam dan swasta khususnya memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya. Selari dengan ajaran Islam, Allah s.w.t. telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang.

Firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi s.a.w. bukan saja menyampaikan risalah Islam semata-mata, bahkan baginda sendiri berusaha melakukan perubahan untuk maju melalui sektor pekerjaan. Baginda adalah contoh pekerja dan pengurus yang unggul berkeperibadian tinggi seperti bersifat jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi, dan bijak ketika membantu perniagaan Abu Talib dan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.

Seandainya Nabi s.a.w. melanggar etika kerja yang disyariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, maka sudah pasti dunia pekerjaan akan tercemar. Apa yang nyata, keperibadian mulia seorang pekerja dan majikan, hendaklah diberikan penanda aras paling tinggi dan utama. Ini kerana jika pekerja dan majikan bersifat amanah serta tidak menyalahguna pangkat atau kuasa dalam mentadbir; nescaya akan mendapat keredhaan Allah s.w.t., mendapat keberkatan rezeki, dipercayai oleh pekerja dan organisasi, serta membawa kemakmuran kepada organisasi.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya:
“Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.”

Berdasarkan hadith tadi, maksud ‘secara tidak halal’ itu termasuklah mereka yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah s.w.t.. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati. Justeru, bagi memakmurkannya kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti tersebut adalah tuntutan bekerja secara profesional dan kemas melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang, dan tenaga. Berteraskan nilai integriti, lima cabaran sentiasa mendepani organisasi yang cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap yang mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan yang berilmu dan mahir, budaya kerja berasas prestasi, dan daya kepimpinan yang unggul.

Perlu diingatkan bahawa perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Ramai di kalangan kita selalu berdoa memohon kebaikan ini, tetapi doa tanpa usaha adalah angan-angan sahaja. Begitu juga usaha tanpa doa untuk mendapat keredhaan Allah atas usaha yang dilakukan akan membawa kepada sia-sia. Apa yang terbaik adalah gabungan antara doa dan usaha yang sempurna akan membawa kepada kejayaan yang diimpikan.

Allah s.w.t. telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam. At-Tabrani meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:

“Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Umumnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, dan pengamalan ilmunya, serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang. Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah, berbudi pekerti mulia, dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.

Sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan daripada perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikhuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran. Bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi mestilah terlebih dahulu cemerlang.

Marilah kita muhasabah diri, sejauh manakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini?. Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama kita?. Dalam keadaan kemelestan ekonomi dunia sekarang, banyak pihak mengurangkan produk pengeluaran dan jumlah pekerja mereka. Namun kita sebagai penjawat awam atau swasta yang masih bekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang; bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.

Menyedari hakikat ini, semua golongan pekerja adalah diseru untuk sama-sama menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat-sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati dan bertolak ansur, dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran.

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 105:
Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment