Nuzul Al-Quran Mengubah Sikap Muslim

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri. Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu mengubah sikap manusia kepada sesuatu yang baik dalam hidup mereka.

Sayidina Umar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Umar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha. Umar menjadi seorang Muslim yang amat bertakwa dan yakin dengan Islam. Umar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.

Umat Islam yang soleh seperti Saidina Umar dan umat Islam akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Ingin ditegaskan bahawa tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi surah Fatiir ayat 32:

Maksud: “Kemudian Kami wariskan Al-Qur’an itu kepada orang yang Kami pilih dari kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan ada yang mendahului dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.”

Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun) sedangkan penganut agama lain menolak kebenaran al-Quran secara mutlak. Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

  1. Golongan yang menganiayai diri mereka sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramal dengan perintah Allah di dalamnya.
  2. Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.
  3. Golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti tekun solat, tidak minum arak, tidak berzina dan tidak menderhaka kepada Allah kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Kini terserah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara ketiga-tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas.

Suka diingatkan bahawa sesungguhnya peluang untuk membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Orang bukan Islam tidak akan membaca al-Quran melainkan mereka hendak mendekati dan memahami Islam. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah melontarkan soalan kepada Muslim yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran:

Maksudnya : Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur’an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.

Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh. Oleh itu, diseru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita ke arah yang lebih diredhai Allah s.w.t.

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh dinaikkannya.” (surah Faatir : 10)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment