Mewarisi Tugas Rasulullah SAW

Semua nabi dan rasul sama ada yang disebutkan dalam al-Qur’an atau tidak adalah mengajar kepercayaan agama yang sama iaitu agama yang Allah SWT namai dengan Islam. Justeru itu, semua nabi dan rasul itu beragama Islam. Begitu juga dengan pengikut-pengikut mereka.

Bagaimanapun Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya rasul yang telah melengkapkan dan mendaulatkan agama Islam di muka bumi untuk seluruh umat manusia dan untuk digunapakai dalam semua zaman. Sedangkan rasul-rasul sebelumnya hanya diberi tugas untuk membimbing kaum-kaum tertentu dan pada masa-masa tertentu sahaja.

Ini dapat kita fahami di mana sebelum Rasulullah SAW wafat, al-Qur’an ada menyatakan bahawa agama Allah telah disempurnakan, kecintaan Allah kepada semua orang yang beriman telah dilengkapkan dan kebenaran wahyu Allah akan terus dijaga.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 3:

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agamamu.”

Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu al-Qur‘an dan as-Sunnah. Hal ini diberitahu oleh Rasulullah SAW sewaktu baginda sedang gering dengan pesanan kepada umat Islam bahawa mereka tidak akan sesat jika berpegang teguh kepada kandungan al-Qur‘an dan as-Sunnah serta memperoleh keselamatan di dunia dan di akhirat.

Imam Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:
Mafhumnya: “Daku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (al-Qur‘an) dan sunnah Rasul-Nya”.

Dalam al-Qur’an telah disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir, dan Nabi sendiri mengakui bahawa baginda adalah rasul terakhir. Penjelasan al-Qur’an dan pengakuan Nabi Muhammad itu menjelaskan bahawa manusia tidak memerlukan lagi wahyu dan rasul-rasul baru kerana agama Allah telah cukup sempurna dan lengkap.

Persoalan besar timbul ialah apakah peranan tuan-tuan dan umat Islam sekalian dalam usaha membuktikan kasih sayang, kecintaan, dan penghormatan kepada perjuangan Rasulullah SAW? Sejauh manakah diri kita, keluarga kita, rakan kita, pekerja kita, pelanggan kita, dan majikan kita mematuhi segala perintah Allah SWT dan nasihat Rasulullah SAW?

Para umat Islam diingatkan supaya berwaspada tentang kemuculan rasul-rasul palsu, rasul Melayu palsu, dan guru-guru ajaran sesat yang mengaku sebagai tuhan.

Ajaran seperti Qadiani atau Jemaah Ahmadiah serta Rasul Melayu, adalah antara ajaran yang berasaskan rasul atau nabi palsu. Apabila pihak-pihak tertentu di Barat secara meluas menghina Rasulullah SAW, maka telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa mereka yang menolak al-Qur’an dan menentang sunnah Rasulullah SAW di negara ini juga adalah dikategorikan sebagai perbuatan menderhaka kepada Allah SWT dan menghina Rasulullah SAW.

Sementara kita masih ada sisa-sisa kehidupan di dunia ini, masih ada kudrat, akal yang waras, dan ahli keluarga; apakah tugas yang kita boleh bantu untuk meneruskan kesinambungan tugas-tugas Rasulullah SAW. Oleh itu, sempena dengan semangat sambutan maulidur rasul ini, mimbar ingin menasihatkan bahawa kita boleh membantu menyambung amanah Allah dan Rasulullah SAW ini dengan cara-cara berikut:

  1. Menjalankan tugas-tugas dakwah dengan lebih proaktif kerana kerja dan dakwah adalah tugas utama Rasulullah SAW,
  2. Mengajak ahli keluarga, kaum kerabat, dan orang lain mematuhi ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah, dan
  3. Bersama-sama kita menghapuskan ajaran sesat yang menyelewengkan aqidah ummah.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahzab ayat 21:

Maksudnya: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment