Menjaga Adab Ketika Perselisihan Pendapat

Islam adalah agama yang syumul dan lengkap. Jika manusia dapat mengikuti agama itu dengan khusyuk dan tertib, ia akan membawa kepada kecemerlangan. Tetapi sejak kebelakangan ini kita dilanda wabak yang merbahaya iaitu perselisihan pendapat atau ikhtilaf terbuka di antara ulamak dengan ulamak, orang awam dengan ulamak atau orang politik dengan ulamak mengenai isu agama Islam.

Apa yang lebih memeranjatkan kita lagi ialah peningkatan orang bukan Islam dan orang yang jahil agama tanpa segan silu mengeluarkan pendapat terbuka tentang Islam.

Ikhtilaf di kalangan pihak-pihak tersebut telah menimbulkan suasana kelam-kabut dalam masyarakat Islam sekaligus menjejaskan nama baik agama Islam serta penganutnya. Umat Islam sekalian perlu diingatkan supaya jangan memperbesar-besarkan isu khilafiah, isu remeh-temeh seperti tahlil, maulidurasul, talqin dan sebagainya. Isu ini adalah isu lama dan ulamak yang bijak lagi waras tidak memperbesar-besarkannya.

Sabda Rasulullah SAW daripada ‘Iyadh bin Himar: Mafhumnya:

Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.
(Riwayat Muslim)

Merujuk kepada sejarah Islam, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hanbali serta aliran mazhab yang lain mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Anak-anak murid dan pengikut-pengikut mereka semakin bertambah dari hari ke hari. Tetapi mereka telah menunjukkan sikap mulia seperti saling hormat menghormati atas semangat setiakawan yang tinggi.

Apa yang jelas, Islam telah meletakkan adab-adab yang tinggi ke atas setiap muslim dalam proses pergaulan sesama muslim termasuklah ketika berselisih faham mengenai isu yang kurang jelas. Namun begitu kita ditegah menghina ulamak tertentu walaupun berbeza pandangan atau pendekatan. Ulamak dahulu adalah umat yang terbaik dan mendapat pengiktirafan dari masyarakat ketika itu.

Apa yang menyedihkan sekarang ialah perselisihan pendapat yang membawa krisis ulamak merugikan negara dan ummah. Keadaan ini diburukkan lagi apabila ada pihak yang anti-ulamak menulis atau membuat kenyataan secara sedar, jelas dan berterusan dengan niat dan tindakan untuk menghina Islam.

Adalah dikesali dengan adanya percubaan pihak-pihak tertentu kononnya atas dasar kebebasan bersuara, berfikir dan mengeluarkan pendapat, maka sewenang- wenangnya mahu menjadikan Islam dan segala hukum syariat Islam sebagai suatu perdebatan yang bebas mengikut sesuka hati sesiapa sahaja dan mengenepikan asas-asas kaedah dan disiplin ilmu yang betul dalam Islam.

Kedangkalan ilmu sesetengah pihak bukan sahaja merosakkan imej dan kesucian agama Islam, malah akan menimbulkan kekeliruan yang merbahaya di kalangan masyarakat awam khususnya masyarakat Islam di negara ini.

Jika agama Islam dibiarkan didebat secara bebas, angkuh dan sombong bongkak seperti yang ditulis atau dilaungkan oleh pihak tertentu tanpa mengikut disiplin ilmu Islam yang betul, maka kewibawaan seluruh institusi Islam di negara ini akan terdedah kepada cercaan dan penghinaan.

Adalah didapati budaya pihak tertentu yang terus menyerang ulamak dalam hasil tulisan mereka secara menghina dan biadap adalah suatu perkara yang tidak dapat diterima. Persoalannya kenapa golongan ulamak menjadi sasaran serangan yang berterusan oleh pihak-pihak ini?

Ulamak yang beramal dengan Islam sebenar tidak pernah mendakwa diri mereka sebagai manusia sempurna. Namun jika sekalipun pendapat ulamak mahu dikritik, kenapa perlu mereka dihina dan dicerca dengan mempermainmainkan dan memerendah-rendahkan peribadi mereka dengan kata-kata menghina.

Menyedari hakikat ini, umat Islam yang terlibat dengan perselisihan pendapat itu perlu menjaga adab-adab berikut:

  1. Bersifat lapang dada menerima kritikan yang membina. Sikap sedemikian dapat menghindarkan kita daripada bersifat sombong dan banggadiri atas kelebihan diri yang ada.
  2. Memilih perkataan yang terbaik dalam sesi perbincangan.
  3. Menjaga tingkahlaku dan tuturkata dengan lebih bersopan. Hindarkan daripada caci maki dan nafsu jahat sehingga tergelincir daripada kebenaran.

Insaflah, ikhtilaf boleh disalah tafsir atau dimanipulasikan oleh suatu perancangan berniat jahat dan seolah-olah ada suatu usaha tersusun dari pihak-pihak tertentu untuk menyerang Islam dan institusi ulamak di negara ini.

Sebagai langkah pengawalan, marilah kita memelihara perkara-perkara berikut:

  1. Pertama, walaupun Islam membenarkan ikhtilaf tetapi wajib kita menjauhinya sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar.
  2. Perkara yang boleh diijtihad itu perlu mematuhi beberapa syarat bagimemastikan keaslian perbincangan tersebut.
  3. Mengikuti akhlak para salafusoleh dalam pergaulan sesama mereka ketika terjadi ikhtilaf.
  4. Dilarang menuduh atau memfitnah sesama Islam kecuali disertai ilmu dan keadilan.
  5. Tidak mencampur adukkan antara masalah ijtihadiyah dengan masalah iftiraq (perpecahan).

Maksudnya: “Oleh sebab itu jika mereka berhujah membantahmu maka katakanlah: Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang yang mengikutku. Dan bertanyalah kepada orang yang diberi Kitab, dan orang yang buta huruf: Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)? Jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah mendapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.”
(Ali Imran: 20)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment