Membendung Musibah Wabak Selsema Babi Influenza A H1N1

Pada 29 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah meletakkan wabak Selsema Babi kepada kedudukan tahap kelima. Kemudian pada 11 Jun 2009 Pertubuhan Kesihatan Dunia telah mengisytiharkan peningkatan amaran dari tahap 5 ke tahap 6 iaitu tahap di mana virus telah merebak secara berleluasa di beberapa negara, sukar untuk dikenalpasti rangkaian pemindahan wabak dari manusia ke manusia dan menandakan penularan berterusan tidak dapat dielakkan lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan Bilik Gerakan Pencegahan Penyakit Menular Kebangsaan semenjak 26 Jun 2009 bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negara.

Situasi semasa Influenza A(H1N1) setakat 11 Ogos 2009, jam 8.00 pagi jumlah Kes di Malaysia adalah 2,253 dengan jumlah kematian 38 orang. Untuk makluman, pada masa ini terdapat seramai 48 pesakit sedang dirawat di hospital dan 11 lagi dirawat di ICU. Daripada 11 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 4 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (2), obesiti (1) dan post-delivery (1). Seramai 11 orang telah didiscaj dari hospital semalam.

Untuk makluman juga, 6 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada mendapat jangkitan H1N1 pada 6, 8 dan 9 Ogos 2009, dilaporkan pada 10 Ogos 2009 secara formal sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko samada Diabetes, Hipertensi atau Asma. Tarikh kematian sebenar 6 kes tersebut adalah seperti berikut, 4 Ogos (1), 6 Ogos (2) dan 7 Ogos(3).

Sila rujuk laman web Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan maklumat terkini.

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Tanda-tanda utama selsema babi ialah apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit. Jika simptom ini berlaku dalam keluarga kita, maka kita hendaklah bersegera, serta merta bawa ke hospital.

Tempat-tempat awam adalah tempat yang paling terdedah dan berisiko tinggi merebak dengan cepat wabak selsema babi. Dengan demikian semua kementerian, syarikat dan pertubuhan yang terlibat dengan perkhidmatan asas awam seperti polis, imigresen, kastam, hospital dan perkhidmatan kaunter perlu memastikan anggota barisan hadapan mereka sentiasa menjaga kebersihan yang baik untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan penyakit wabak yang cepat merebak ini. Apabila wabak bahaya ini dapat di kesan di sesuatu tempat atau di sesuatu kawasan, maka tindakan cepat perlu diambil.

Langkah yang paling berkesan diambil ialah menutup premis atau menjauhi kawasan yang dikenal pasti kawasan wabak. Tindakan yang diambil termasuklah tindakan menutup sekolah, institusi dan menjauhi majlis-majlis rapat umum dan perjumpaan awam. Kerjasama untuk bertindak pantas amat diperlukan daripada semua pihak yang terlibat jika wabak berkenaan dapat dikesan.

Bagi membendung wabak yang sedang merebak ini, maka Kementerian Kesihatan dan pihak hospital telah memberi peringatan kepada orang awam yang tidak sakit tidak digalakkan melawat hospital atau pusat kesihatan terutamanya membawa kanak-kanak yang berumur kurang 12 tahun, kecuali bagi tujuan rawatan. Langkah ini adalah bagi tujuan mengurangkan pendedahan atau risiko jangkitan kepada orang awam.

Bencana dan musibah tidak putus-putus menimpa manusia. Berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW bahawa terdapat perkaitan kuat malapetaka dan musibah yang menimpa manusia berkait rapat dengan tabiat, tingkahlaku dan kelakuan buruk manusia sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41, Maksudnya :

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.”.

Berbagai cara kemurkaan Allah menimpa manusia. Ada kemurkaan yang hanya menimpa seorang manusia, satu keluarga, satu suku dan ada juga yang menimpa satu bangsa sehingga sesuatu bangsa itu pupus di muka bumi.

Ingin diingatkan bahawa semua malapetaka alam, yang sering terjadi di permukaan bumi ini, samada banjir, gempa bumi, taufan, kelaparan, kekurangan makanan, peperangan, penyakit-penyakit menular dan bala bencana yang lain adalah pembalasan kepada kejahatan dan kekufuran manusia. Bencana alam yang dahsyat dan kemunculan wabak-wabak penyakit yang luar biasa penularannya bukan berlaku secara kebetulan tetapi hakikatnya hukuman Allah supaya manusia insaf dan kembali menjadi manusia yang beriman dan soleh.

Oleh itu marilah kita menjadi manusia yang beriman dan soleh. Adalah satu pembaziran hidup dan menjadi hidup paling rugi jika sebahagian besar hidup kita bergelumang dengan melakukan penderhakaan kepada Allah, melakukan kejahatan sesama manusia dan menjadi kuda tunggangan atau bersyubahat untuk menghapus pihak lain.

Sebagai renungan marilah kita hayati Firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 33: Maksudnya:

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau berada di antara mereka, dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar meminta ampun”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment