Kebajikan Dan Keburukan

Musaddad menyampaikan kepada kami, dari Abdul Aziz bin Mukhtar, dari Khalid al-Hazza’, dari Akramah katanya:
”Abdullah bin Abbas berkata kepada aku dan anaknya Ali: ”Kamu berdua dengarlah hadith (daripadanya). Maka kami berdua pun pergi dan ketika itu Abu Said sedang membersihkan halaman. Ia mengambil selendangnya lalu duduk. Selepas itu ia mula menyampaikan hadith hingga sampai kepada membicarakan binaan masjid.

Beliau berkata: ”Kami membawa batu-bata sekeping demi sekeping dan Ammar pula membawa dua batu bata (sekaligus), maka Nabi s.a.w melihatnya lalu baginda mengibas-ngibas tanah daripadanya sambil bersabda: ”Kasihan Ammar, puak pelampau ingin membunuhnya sedangkan ia menyeru mereka kapada syurga dan mereka menyerunya kepada neraka.

Abu Said berkata, Ammar menjawab: ”Aku berlindung dengan Allah daripada segala fitnah.”

Bukhari

Huraian

Ada banyak orang yang diberi hidayah oleh Allah dengan melakukan perbuatan baik berupa kebajikan dan banyak orang yang tertipu kerana perbuatan buruknya yang dirasakan baik. Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sesiapa yang memilih jalan kesesatan, maka tidak ada seorang pun yang boleh memberi petunjuk kepadanya. Merekalah orang-orang kafir dan kaum munafiq yang termakan tipu daya dan fitnah syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia, menghambakan diri kepada nafsu bukan kepada penciptanya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment