Kajian Terperinci Isu Semasa Sebelum Fatwa Dibuat

Ulama perlu berperanan dalam pembangunan dan negara sejajar dengan kedudukan mereka sebagai orang berilmu serta beramal dengan ilmunya. Ulama adalah mereka yang dikurniakan ilmu agama dan ajaran islam dengan kefahaman mendalam serta mengetahui batasan agama, terutama meliputi aspek halal atau haram.

Beberapa peserta bengkel ‘Pemahaman Bioteknologi : Kearah Ulama Bermaklumat’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Direktorat Bioteknologi Kebangsaan Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar di Kuala Lumpur, baru-baru ini, bersetuju bahawa tugas ulama bukan sahaja membaca doa selamat, mengetuai majlis tahlil, membaca talkin atau pun mengimamkan sembahyang. Mereka berkata, selaku pewaris anbia, ulama mesti meneruskan perjuangan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya islam yang menjanjikan kebahagian dunia dan yang lebih bermakna di akhirat.

Persekitaran dunia yang kian berubah dan ditambah dengan pelbagai isu melanda masyarakat Islam mendorong kajian menyeluruh dan teperinci dijalankan sebelum sebarang garis panduan dikeluarkan.

Ulama iaitu mufti negeri yang menghadiri bengkel itu juga berpendapat institusi mufti perlu diberi perhatian sepenuhnya untuk menjalankan kajian terperinci berhubung isu semasa yang memerlukan sesuatu fatwa dikeluarkan.

Sepanjang menghadiri bengkel itu, banyak persoalan yang dikemukakan masih kabur, terutama dari segi status dan hukumnya. Keadan sebegini menggambarkan bahawa penyertaan golongan ulama dalam bidang bioteknologi masih kurang dititikberatkan walaupun persoalan itu membabitkan kepentingan umat Islam.

Jawatankuasa Penasihat Modifikasi Genetik (GMAC) dalam Jawatankuasa Biodiversiti Kebangsaan perlu juga mengambil kira penyertaan ulama bagi mengawal selia pengimportan, penghasilan dan pelepasan produk Organisma Diubahsuai Genetik (GMO).

Prihatin dengan penyertaan ulama, Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Dr Mohd Yusuf Hussain, berkata banyak kajian terperinci perlu dilakukan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat Islam dalam pelbagai aspek,terutama dalam bioteknologi. Katanya, sebagai menghargai keilmuan yang dimiiki oleh golongan ulama, pandangan dan pendapat ualam sangat diperlukan.

Malah, katanya, pandangan mereka sudah diterima pakai dalam proses pengubalan polisi negara, terutama yang berkait dengan Islam dan masyarakat. Prof Dr Mohd Yusuf berkata, peranan ini dimainkan bukan sahaja di peringkat kebangsaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai 21 ahli, malah setiap negeri mempunyai Majlis Fatwa Negeri.

Bagaimanapun, katanya, golongan ulama ini tidak terhad kepada mufti yang menganggotai Majlis Fatwa, malah mereka yang terbabit dalam memberikan kefahaman mengenai Islam di semua peringkat.

“Kepentingan Ulama bukan sahaja dalam memberi dan menyebarkan segala maklumat berkaitan keimanan dan akidah, malah lebih luas lagi. Ia merangkumi perkara berkaitan kehidupan berkaitan masyarakat Islam. Dalam hal ini, bidang sains dan teknologi, terutama bioteknologi, tidak terkecuali. Pengetahuan mereka terhadap Islam diperlukan untuk menentukan apakah halal atau haram dalam sesuatu kajian. Dunia sudah berubah dan kajian yang dilakukan oleh mufti juga berubah. Kita tidak lagi melakukan kajian dengan sekadar membaca untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi tujuan itu, beberapa inisiatif perlu dijalankan bagi menggalakkan penyertaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi, di samping menambah peruntukan serta latihan pegawai agama dalam berkenaan. Berkenaan penambahan peruntukan, Prof Dr Mohd Yusuf berkata, Persidangan Mufti Negeri yang berlangsung pertengahan dan hujung tahun lalu bersetuju supaya setiap pejabat Mufti mengemukakan permohonan peruntukan untuk tujuan kajian. Di wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memohon sejumlah RM400,000 daripada baitulmal Wilayah Persekutuan bagi menjalankan kajian tertentu. Dengan ada peruntukan itu,katanya, ia akan digunakan untuk melantik pakar dan saintis di institusi tertentu bagi mambantu menjalankan kajian.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, berkata kefahaman agama di kalangan saintis juga mustahak agar mereka berupaya mengeluarkan hukum dan ijtihad yang jelas dalam sesuatu kajian yang memerlukan justifikasi agama. Katanya, ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, At-Tibbi dan Al-Farabi bukanlah kalangan yang hanya mengetahui bidang sains semata-mata. Beliau berkata, mereka juga adalah ulama, hafiz Quran dan mampu mentafsirkan ayat al-Quran serta menjadi rujukan kepada masyarakat.

“Jadi tidak timbul sebarang syak mereka menyalahgunakan kepakaran atau mengkaji sesuatu di luar batasan kerana mereka sememangnya mengutamakan etika serta budaya ilmu.

“Inilah kelemahan yang ada sekarang. Kita seolah-olah terpisah diantara sains dan agama,sedangkan pada hakikatnya kedua-duanya saling memerlukan. “Usaha perlulah dilakukan, termasuk meningkatkan kefahaman pelajar sains, teknologi dan juga pengajian Islam dalam kedua-dua bidang ini,”katanya.

Petikan Berita Harian bertarikh 16 Januari 2004

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment