Ibubapa Penjana Pendidikan Anak-Anak

Sekolah yang merupakan pusat pendidikan anak-anak telah mula cuti persekolahan selama 47 hari, satu tempoh yang agak panjang dan banyak perkara boleh mempengaruhi perilaku anak-anak. Jika anak-anak melalui tempoh tersebut dengan kegiatan bermanfaat, seperti membaca, mengulangkaji pelajaran, memperdalamkan ilmu fardhu ain, melazimkan diri ke masjid dan surau dan seumpamanya, maka anak-anak akan berpotensi menjadi generasi cemerlang, sebaliknya jika mereka menghabiskan tempoh masa tersebut dengan aktiviti yang tidak berfaedah, seperti menonton program hiburan melampau, menyalahgunakan internet, membaca majalah-majalah hiburan dan sebagainya, maka tergugatlah masa depan mereka.

Kita perlu ingat, bahawa anak-anak lazimnya bersifat kurang matang atau pendek akalnya, bila berdepan dengan sesuatu cabaran. Tegasnya mereka mudah terpedaya dengan apa juga cabaran yang ada dikelilingnya. Oleh kerana itu, kita selaku ibubapa bertanggungjawab mempastikan anak-anak sentiasa dibimbing agar berjaya mengelak daripada terpedaya dengan sebarang bentuk anasir buruk yang akan merosakkan masa depan mereka.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6: maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Kita perlu sedar bahawa anak-anak kita sekarang ini berdepan dengan cabaran dan pengaruh hiburan yang terlalu banyak. Bukalah saluran TV manapun pasti program hiburan akan tersedia. Sesetengah program hiburan amat diminati oleh anak-anak kita. Ini menyebabkan anak-anak sanggup menghabiskan banyak masa terutama di musim cuti persekolahan menonton pelbagai program hiburan di televisyen dan internet dengan mengabaikan tugas sebenar mereka sebagai pelajar.

Implikasinya anak-anak bukan sahaja lemah pencapaiannya dalam pelajaran, malah anak-anak juga berdepan dengan masalah keruntuhan akhlak yang berpunca daripada pengaruh hiburan yang melampau. Tidak mustahil anak-anak akan terikut-ikut dengan gelagat ikon-ikon TV yang berpakaian menjolok mata serta bergaul bebas lelaki dan wanita tanpa batas.

Oleh itu, kita bertanggungjawab mempastikan anak-anak kita tidak menghabiskan masa cuti persekolahan dengan menonton program-program hiburan begitu. Tugas ini bukan mudah, kerana media berada di mana-mana, malah tidak ada rumah yang tidak di masuki media. Apa yang perlu kita lakukan ialah memantau serta membimbing secara serius serta berterusan kepada anak-anak kita agar tidak menghabiskan masa menonton program hiburan semata-mata.

Kita sebagai ibubapa perlu setiap hari bertanyakan anak-anak apa yang mereka telah buat sepanjang hari. Apakah mereka telah bersolat dan apakah mereka telah mengulangkaji pelajaran? Dengan itu, insya Allah, tugas mereka sebagai pelajar tidak akan dipersiakan.

Selain daripada cabaran hiburan, anak-anak kita juga terdedah kepada pengaruh watak individu atau kumpulan yang tidak berakhlak dalam masyarakat seperti pergaulan bebas, perlumbaan haram, melepak, merokok, berpoya-poya dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan kita mengawal ketat anak-anak kita daripada mendekati dan bergaul dengan watak-watak dan kumpulan-kumpulan remaja yang rosak akhlak dan jelas membelakangkan petunjuk Allah SWT.

Sebagai ibubapa, kita perlu setiap hari bertanyakan anak-anak kita ke mana mereka pergi, untuk apa mereka ke sana, dengan siapa mereka pergi, jam berapa mereka pulang dan sebagainya. Dengan demikian, mudah-mudahan kita dapat mengawal anak-anak kita daripada terjerumus kelembah kehancuran. Hayatilah pesanan Nabi SAW agar kawan anak-anak kita hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berakhlak dan mempunyai jatidiri.

Mafhumnya: “Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah seperti saudagar minyak wangi dan tukang besi. Peniaga minyak wangi akan memercikkan minyak wanginya atau dapat membeli daripadanya atau mencium bau wanginya. Manakala tukang besi pula mungkin akan membakar bajumu atau engkau mencium bau busuk daripadanya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Adalah dibimbangi dengan peningkatan kadar jenayah dikalangan remaja saban tahun. Mengikut laporan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2007 sejumlah 3,446 kes jenayah curi dan pecah rumah telah dilakukan oleh golongan remaja. Laporan ini belum dikira lagi jenayah-jenayah lain seperti perzinaan, black metal, bohsia, pergaduhan, minum arak dan sebagainya.

Adalah dipercayai antara punca jenayah dikalangan remaja adalah disebabkan lemahnya pendidikan agama kepada anak-anak di peringkat institusi keluarga. Justeru itu, ibubapa adalah diseru agar, marilah kita melipat gandakan usaha mendidik anak-anak dengan lebih berkesan. Marilah kita mencontohi pendidikan Luqmanul Hakim seorang bapa yang Allah SWT iktiraf kejayaannya mendidik anak-anak, sepertimana firman Allah dalam Surah Luqman ayat 13: maksudnya:

Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa tanggungjawab utama ibubapa ialah mempastikan anak-anak dididik dengan asas-asas aqidah. Dengan mengenal Allah,dan lima rukun iman yang lain, insya Allah anak-anak bakal menjadi insan yang mempunyai jati diri, berakhlak, tekun beribadah, berketerampilan, berpandangan jauh, berilmu dan mampu menghadapi semua cabaran hidup.

Namun, perlu difahami bahawa kekuatan iman anak-anak tidak akan dicapai dengan mudah tanpa berbuat apa-apa. Kemantapan aqidah perlu di usaha dan diperjuangkan. Inilah sebenarnya perjuangan dan pengorbanan dakwah para Nabi dan Rasul disepanjang zaman.

Oleh itu, sempena cuti persekolahan ini, dicadangkan ibubapa agar marilah kita perjuangkan kemantapan aqidah anak-anak dengan menghantar anak-anak mengikuti kursus, kelas pengajian, seminar, bengkel, khemah ibadah dan sebagainya yang dianjurkan oleh Jabatan Agama, masjid, surau, pertubuhan dakwah dan sebagainya yang terdapat di kawasan tempat tinggal kita masing-masing.

Mudah-mudahan kita dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai jatidiri mukmin, berwawasan dan berketerampilan yang sekaligus dapat menghadapi pelbagai cabaran yang mengelilingi mereka.

Maksudnya: “Wahai anakku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki melakukannya.”
(Surah Luqman: 17)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Trackbacks Comments
Leave a Comment