Fatwa Ulama Dan Institusi Islam Berkenaan Yoga

Pandangan Yang Mengharamkan

  1. Pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi
    “Dan sesiapa yang mengamalkan senaman yoga – iaitu latihan pergerakan tubuh dan tidak terlintas di fikirannya unsur penyembahan, tidak juga untuk mengikuti golongan penyembah berhala, tidak juga menyerupai mereka, maka yang lebih selamat dan lebih berhati-hati ialah menjauhkan diri daripada menyerupai mereka, lebih-lebih lagi setelah mengetahui bahawa asal-usul senaman yoga yang mempunyai unsur keberhalaan, sebagai beramal dengan hadith: “Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan”. Malah Islam telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan penyembah berhala walaupun hanya dari segi rupa dan bentuk.    

    Oleh sebab itu Islam telah menegah solat pada waktu terbit matahari dan ketika tenggelamnya, kerana penyembah matahari menyembah matahari pada kedua-dua waktu ini. Tidak diragukan lagi bahawa larangan solat pada kedua-dua waktu tersebut ialah sebagai menyekat jalan-jalan kerosakan walaupun ia tidak terlintas di benak orang yang solat untuk menyembah matahari atau menghadap ke arahnya dalam solat”.

    (http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=4627&version=1&template_id=258&parent_id=12, dilayari pada 7 April 2008)

  2. Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura
    “Yoga adalah antara perkara-perkara bid’ah yang digolongkan ke dalam bid’ah dhalalah. la mengandungi unsur-unsur agama Hindu. Segala perkara yang mengandungi unsur-unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram”
    (http://www.muis.gov.sg/websites/rservices/opendocall.asp?type=I&sno=266, dilayari pada 7 April 2008).

Pandangan Yang Membenarkan Dengan Syarat

  1. Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir
    “Bahawa pergerakan senaman semata-mata yang bermanfaat bagi tubuh atau sebahagian anggota badan, tidak salah dan tidak haram, tetapi ini tidak dinamakan yoga. Bahawa apa yang disandarkan kepada nama ini (yoga) semestinya dikaitkan dengan konsep ‘guru’ (mursyid), konsep cakra (titik-titik pusat) dan konsep ‘energi’ (tenaga tertinggi), semuanya ini konsep-konsep yang berkaitan dengan keberhalaan dan kesyirikan. Adapun hanya pergerakan semata-mata maka ia tidak dinamakan dengannya (yoga).    

    Pemaksaan seseorang untuk menamakan pergerakan-pergerakan badan ini sebagai yoga tidak harus dari segi syara’. Ia termasuk dalam bab menamakan sesuatu dengan bukan namanya yang boleh menatijahkan penghalalan atau pengharaman sesuatu, dan ia telah pun ditegah. Rasulullah SAW bersabda: ”Akan ada manusia di kalangan umatku yang meminum arak yang mereka gelarkan bukan dengan namanya”. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Malik al-Asy’ari RA. Dalam riwayat al-Darimi daripada ’Aisyah RAH menyebut: ”Mereka menamakannya dengan selain namanya lalu menghalalkannya (arak)”
    (www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=4194, dilayari pada 7 April 2008. Lihat Lampiran E).

  2. Fatwa Ustaz Mas’ud Sobri (Islamonline)
    “Hukum syara’ bagi melakukan senaman ini boleh disimpulkan seperti berikut: Sesiapa yang mengamalkan yoga dan mempercayai yoga sebagai satu kepercayaan yang meningkatkan kerohanian dan diri, menyerupai aqidah agama Hindu, maka mengamalkannya adalah haram. Sesiapa yang melakukan senaman yoga sebagai satu jenis senaman semata-mata yang tiada kaitannya dengan aqidah, maka hukumnya ialah harus berasaskan kepada asal yang telah diletakkan oleh jumhur fuqaha’: Bahawa asal setiap sesuatu itu harus sehingga terdapat nas yang mengharamkan, diiringi pula dengan niat seseorang yang melakukannya, sebagaimana yang berlaku ke atasnya kebanyakan hukum berdasarkan sabda Rasulullah SAW, ”Bahawasanya setiap amalan itu dengan niat, dan setiap orang berdasarkan apa yang diniatkannya.”    

    Sebagaimana Islam mendapati banyak amalan tradisi kemasyarakatan seperti perkahwinan dengan pelbagai jenis. Lalu Islam membatalkan kesemuanya dan mengekalkan apa yang dimaklumi oleh ramai hingga ke hari ini, iaitu (kebiasaan) seorang lelaki menuntut anak gadis daripada bapanya dan lain-lain bentuk tradisi kemasyarakatan dalam perkahwinan yang telah dikekalkan oleh Islam. Berdasarkan apa yang diterangkan sebelum ini, tidak mungkin dihukumkan haram ke atas pengamalan yoga, sekiranya yoga itu hanya senaman secara jasmani semata-mata, yang tiada kaitannya dengan aqidah”.
    (http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1137319993300, dilayari pada 13 Oktober 2008)

  3. Pandangan Fatwa Islamweb.net
    “Yoga bukanlah hanya senaman badan semata-mata, tetapi ia ialah ibadah yang dihadapkan oleh pelakunya kepada matahari selain daripada Allah SWT. Ia tersebar ke seluruh India sejak zaman dahulu.    

    Nama asal bagi senaman ini dalam bahasa Sanskrit ”sastanja surya nama sakar”, bermaksud sujud kepada matahari dengan lapan titik di tubuh. Bermula latihan-latihan yoga dengan kedudukan pertama yang menggambarkan penghormatan kepada yang disembah, iaitu matahari. Latihan-latihan ini semestinya diiringi dengan lafaz-lafaz yang jelas menyebut tentang penyembahan matahari dan menghadap ke arahnya.

    Dan sekiranya ditanya: Adakah harus beramal dengan latihan-latihan ini tanpa menghadap ke arah matahari dan melafazkan ucapan-ucapan yang disebutkan mentera?Jawapannya: Bahawa sekiranya latihan-latihan ini terlepas daripada kalimah-kalimah keberhalaan dan menghadap ke arah matahari serta tunduk dan hormat kepadanya, ia tidak dinamakan yoga.

    Sebaliknya ia adalah senaman mudah yang dilakukan oleh semua bangsa, maka tiada larangan untuk melakukannya ketika itu, di samping memelihara dua perkara berikut:

    1. Menyalahi susunan posisi yang disebutkan dalam yoga serta memasukkan sesetengah posisi yang baru ke atasnya bagi mengelakkan unsur penyerupaan.
    2. Tidak melakukannya pada waktu yang digalakkan oleh agama Hindu melakukannya seperti pada waktu terbit matahari.”

    (http://www.islamweb.net/ver2/fatwa/ShowFatwa.php?Option=FatwaId〈=A&Id=1043, dilayari pada 13 Oktober 2008. Lihat Lampiran G)

Keputusan Panel Kajian Aqidah (PKA) JAKIM

Kertas berkenaan yoga telah dibentangkan dalam mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) sebanyak tiga kali oleh Y. Bhg. Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim dan Urus Setia JAKIM. Kali pertama ia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibentangkan pada mesyuarat PKA kali ke-31 bertarikh 20 Disember 2005, kali kedua pada mesyuarat PKA kali ke-35 bertarikh 19 Jun 2007 dan kali ketiga pada mesyuarat PKA kali ke-37 bertarikh 13
hingga 15 Mei 2008.

Kesemua mesyuarat memutuskan bahawa amalan yoga adalah bercanggah dengan Islam dan secara tidak langsung mempromosikan ajaran Hindu. Mesyuarat PKA kali ke-31 juga antara lain mengesyorkan supaya senaman lain seperti taichi boleh dijadikan sebagai senaman alternatif kepada yoga kerana ianya tidak mempunyai falsafah tertentu di sebaliknya.

Berdasarkan penjelasan dan hujah di atas, kesimpulan yang boleh dijadikan asas pertimbangan dalam menetapkan hukum adalah seperti berikut:

  1. Yoga ialah sejenis senaman yang bersumberkan dan berlatarbelakangkan agama dan falsafah Hindu.
  2. Kebanyakan penganjur dan pengajar senaman yoga adalah terdiri dari kalangan bukan Islam yang tidak mampu membezakan antara senaman semata-mata atau senaman yang dicampuri unsur ibadat Hindu.
  3. Posisi yang dilakukan di dalam senaman yoga, walaupun ianya tidak disertai dengan niat untuk melakukan ibadat Hindu, namun pergerakan-pergerakan tersebut sekurang-kurangnya menyerupai ibadat Hindu pada bentuknya.
  4. Senaman yang berbentuk pergerakan fizikal semata-mata tidak boleh dikaitkan dengan yoga kerana yoga mempunyai unsur-unsur keagamaan. Jika ia dikaitkan dengan yoga sudah tentu senaman tersebut mempunyai falsafah tersendiri yang akhirnya akan merujuk kepada latarbelakang ia diasaskan iaitu bersumberkan agama Hindu.
  5. Senaman yoga tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan usaha bagi meningkatkan kerohanian dalam erti keagamaan seperti mendakwa ia boleh menghubungkan diri manusia dengan tuhan. Kepercayaan sebegini menyerupai tujuan yoga dalam agama Hindu.
  6. Senaman yoga yang mengandungi unsur-unsur falsafah keagamaan bukan Islam adalah dilarang dan diharamkan beramal dengannya. Manakala senaman yoga yang hanya bersifat posisi tubuh badan semata-mata perlu dijauhi bagi mengelakkan umat Islam terjebak ke dalam perkara syubhat serta penyerupaan terhadap ibadat agama lain.


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-83 pada 22 hingga 24 Oktober 2008 bersamaan 22 hingga 24 Syawal 1429H telah mengambil keputusan seperti berikut:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah umat Islam.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam”.

Terdahulu…

Artikel asal boleh diperolehi di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Trackbacks Comments
Leave a Comment