Bersegera Membayar Hutang

Majlis Amanah Rakyat atau MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam, dan Tabung Pinjaman Pelajaran Kementerian Pengajian Tinggi sebagai contoh telah berulang kali mengeluarkan surat-surat amaran kepada peminjam supaya membayar hutang. Apabila tidak mempedulikan surat amaran itu, maka senarai si berhutang disiarkan dalam akhbar utama. Terdapat di kalangan mereka yang berhutang ini telah hidup mewah tetapi tidak amanah enggan membayar hutang kepada orang yang pernah membantunya. Apa yang memalukan sekali ialah senarai orang yang terlibat dalam berhutang itu adalah orang Islam.

Kita juga mendengar kisah-kisah penghuni di sesebuah apartmen, flat-flat dan kondominium berbulan-bulan memanjat tangga bertingkat-tingkat kerana lif-lif rosak yang tidak dibaiki. Syarikat pemaju kediaman tidak membaiki lif-lif yang rosak atas alasan penghuni tidak membayar hutang penyelenggaraan.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia misalnya pada tahun 2006 terdapat sebanyak 13,590 kes bankrap dicatat. Di mana terdapat empat sebab utama berlakunya kebankrapan iaitu kegagalan membayar pinjaman sewa beli kenderaan (23 peratus), kegagalan membayar pinjaman pendidikan (16 peratus), tunggakan hutang bank (15 peratus) dan hutang kad kredit (11 peratus).

Adalah amat dibimbangkan budaya berhutang menjadi gaya hidup masyarakat Islam. Ia mungkin tidak pelik jika di lakukan dalam keadaan darurat. Oleh itu, sikap mudah terpengaruh dengan iklan jualan murah, tidak puas dengan apa yang ada, mudah membuat pinjaman, dan gagal mengawal nafsu berbelanja dikenalpasti punca budaya ini menular.

Ingin diingatkan bahawa dalam suasana kegawatan ekonomi pada masa ini, maka kita hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan budaya berhutang. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia seperti tekanan emosi, muflis, kehilangan semangat untuk bekerja, kecelaruan fikiran, merompak, melacur, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah s.w.t. Ini selari dengan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.”

Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan kehidupan. Walau bagaimanapun, Islam sangat teliti dalam soal memberi, menerima, dan membayar semula hutang tersebut.

Pada dasarnya isu hutang dan pinjam meminjam berkait rapat dengan sikap amanah pemiutang dan penghutang. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang, dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan mereka yang berada dalam kesusahan.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 283:

Maksudnya: “Kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.”

Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa setiap yang berhutang wajib melaksanakan amanah dan bersifat jujur membayar hutang mereka setelah berkemampuan. Bagi sesiapa yang suka melewat-lewatkan atau menangguhkan pembayaran hutang ini, maka maruah mereka menjadi hina, hidup hilang keberkatan dan tidak diredhai oleh Allah s.w.t, amalan kebajikan tertolak, dan tergolong dalam orang yang zalim.

Perlu diingatkan bahawa semua pihak terutama yang berhutang tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut, bersegeralah untuk melunaskan hutang piutang kita. Akhir-akhir ini bukan sahaja yang berhutang menjadi korban, bahkan ahli keluarga mereka turut terbabit sama seperti diugut, dipukul, di samun, dan dibunuh. Apa yang membimbangkan mimbar ialah azab Allah s.w.t di hari akhirat kelak.

Marilah sama-sama kita bertanggungjawab menunaikan amanah berhutang agar mendapat keredhaan Allah s.w.t dengan langkah berikut:

  1. Wajib membayar hutang bagi memelihara hak manusia dan hak Allah s.w.t,
  2. Bersegera membayar hutang jika sudah berkemampuan,
  3. Jangan mudah terpengaruh dengan budaya hidup mewah tetapi tidak mampu membayar; dan
  4. Pada prinsipnya mereka yang berhutang kerana memenuhi keperluanasasi keluarga seperti berhutang membeli beras, ikan, membayar bil air, letrik dan sebagainya yang digolongkan sebagai asnaf al-Gharimin yang berhak mendapat bantuan zakat.

Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nuur ayat 33:

Maksudnya: “Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barang sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan mereka itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment