Bahaya Ajaran Sesat

Baru-baru ini seorang pembawa dan penyebar ajaran sesat yang mengaku sebagai Rasul Melayu telah disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun termasuk 6 bulan tahanan di Pusat Pemurnian Akidah, denda RM16,500 dan 6 sebatan. Tindakan ini bukanlah yang pertama seumpamanya tetapi pernah dijalankan sejak kemunculan ajaran sesat di negara ini pada abad ke-17 lagi.

Jika dahulu penyebar ajaran sesat tidak aktif dan hanya bergerak secara bersembunyi, namun kini sesetengah mereka menjadi semakin berani dan menyebarkan hal-hal yang dianggap prinsip dalam Islam seperti mengaku diri sebagai Nabi, sebagai Jibril, mendakwa menerima wahyu dan sebagainya.

Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga 2008 terdapat sebanyak 55 jenis ajaran sesat telah diwartakan haram di Malaysia. Bagaimana pun dengan kerjasama Polis diRaja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Keselamatan Negeri (MKN), orang awam dan beberapa agensi kerajaan yang lain, maka Jabatan Agama Islam berjaya mengawal perkembangan ajaran sesat. Pada masa ini masih terdapat 12 ajaran sesat yang masih aktif.

Sebagai agama yang suci, usaha berterusan masih dilakukan untuk menyelamatkan akidah ummah dan menjamin keselamatan negara. Apa yang nyata, perbuatan melampau kumpulan ajaran sesat ini adakalanya menyamai keganasan jenayah sivil seperti penculikan, ugutan, pemerasan wang, dan pembunuhan. Malah, tindakan penyebar dan pengikut ajaran sesat ini, sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan yang sangat buruk.

Persoalan besar timbul ialah mengapa umat Islam masih keliru dengan ajaran Islam dan ajaran sesat itu?. Tidak lain ialah kerana mereka merasa terkongkong dengan pantang larang Allah SWT dan terlalu mengikut kehendak hawa nafsu yang jahat supaya segala hajatnya diperolehi dengan jalan yang lebih mudah. Allah SWT berfirman, maksudnya:

Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat”.
(Surah al-Fatihah:7)

Berdasarkan ayat tadi, Allah SWT menjelaskan tentang ciri-ciri orang yang sesat iaitu mereka yang tidak betul kepercayaannya atau amal ibadahnya dan rosak akhlaknya. Ini bermakna sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang didakwanya adalah ajaran Islam, tetapi berlawanan dengan akidah dan syariah Islam adalah dihukumkan sesat.

Fahaman atau ajaran itu dikatakan sesat apabila ia memenuhi salah satu dari sepuluh ciri-ciri. Namun ciri-ciri ini hanya boleh diputuskan oleh pakar agama atau Jawatankuasa Fatwa bagi menentukan suatu ajaran itu sesat dan menyesatkan atau tidak. Ciri-ciri tersebut ialah:

  1. Mengingkari rukun iman dan rukun Islam.
  2. Meyakini atau mengikuti akidah yang tidak sesuai dengan syarak.
  3. Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran.
  4. Mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran.
  5. Melakukan pentafsiran al-Quran tanpa kaedah yang tepat.
  6. Mengingkari kedudukan hadith Nabi sebagai sumber ajaran Islam.
  7. Memperlekeh atau merendahkan para Nabi dan Rasul.
  8. Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul terakhir.
  9. Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak.
  10. Mengkafirkan sesama muslim tanpa dalil syarie.

Berdasarkan sepuluh ciri-ciri tadi, ingin diingatkan bahawa ajaran sesat ini akan terus berkembang dengan adanya faktor-faktor pendukung seperti berikut:

  1. Perbalahan Terbuka di Kalangan Ahli Agama.

    Organisasi Islam sama ada kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan, perlu menerima bahawa usaha dakwah dalam membina akidah umat Islam masih perlu diperbaiki lagi. Jangan kita bersikap mementingkan diri sehingga berpecah belah dalam mencapai matlamat atau agenda sendiri. Kita perlu bersatu padu kerana realitinya umat Islam masih ketandusan iman. Sekarang bukan masa untuk kita bercakaran sesama sendiri, tetapi masa untuk menggandakan usaha dakwah dan memantapkan akidah supaya Islam menjadi agama di yakini oleh penganut agama lain.

  2. Kelemahan Penguatkuasaan Undang-Undang.Ajaran sesat adalah satu ancaman besar dalam negara. Justeru, jika disabitkan bersalah undang-undang yang tegas perlu diambil. Jangan sekadar tangkap, tetapi ajarannya masih bebas kerana kesesatan akidah bukan sekadar jenayah dan kejahatan, ia juga boleh menjadi penyebab kes bunuh diri. Kegiatan ini perlu dibanteras ke akar umbi agar tidak ada lagi ajaran sesat. Pihak penguatkuasa dan undang-undang perlu tegas, agar tidak timbul alasan tidak tahu, tiada kuasa dan sebagainya dalam menangani ajaran sesat.
  3. Wujud Pembela Ajaran Sesat.Perkembangan ajaran sesat ini diburukkan lagi dengan kelompok liberal yang taklid secara membuta-tuli dengan pelbagai alasan. Mereka sering menggunakan isu kebebasan beragama dan kebebasan mentafsirkan ajaran agama sesuka hati. Disebalik kebijaksanaan akal yang cetek iman, mereka menghina Islam.

Oleh itu marilah kita sama-sama memelihara pegangan akidah kita dengan langkah-langkah berikut:

  1. Memantapkan kefahaman agama Islam secara istiqamah dari sumber yang benar dan tepat.
  2. Memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
  3. Mendidik anak dan beramal dengan ilmu syariat yang sahih.
  4. Merujuk kepada Jabatan Agama Islam untuk memastikan guru dan ajaran yang diajar terutama ajaran Tariqat/Tasawwuf tidak bercanggah dengan Islam.
  5. Menguatkuasa undang-undang dengan tegas hingga ke akar umbi.

Maksudnya:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya”.
(Ali Imran:19)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment