Aku Janji Berakhlak Mulia

Soal pembinaan kualiti insan adalah satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Pada asasnya, manusia dan kualiti tidak boleh dipisahkan kerana tanpa insan yang berkualiti, sudah tentu tidak akan wujud kelangsungan hidup masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itu, maka pada hari ini kita menyaksikan program-program pembangunan modal insan diberi keutamaan di peringkat institusi keluarga, sosial, pendidikan, dan perkhidmatan sama ada di sektor swasta mahu pun awam.

Perbincangan tentang modal insan ini telah bermula lebih awal iaitu sebelum kelahiran manusia itu sendiri. Pengutusan Rasul-rasul Allah dan Nabi-nabi di muka bumi ini adalah untuk membentuk manusia berakhlak mulia atau membina kualiti modal insan. Ini dapat difahami melalui ikrar dan Aku janji yang dibuat oleh manusia dengan Allah SWT sewaktu di alam ruh untuk menjadi manusia yang soleh berteraskan akidah tauhid yang satu. Firman Allah SWT:

Maksudnya, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: Sesungguhnya kami orang yang lalai tentang (hakikat tauhid) ini.”
(Surah al-A’raf:172)

Hakikatnya, Aku Janji ini mengandungi kefahaman mengenai kualiti seseorang insan dan hubungan mereka dengan agama iaitu setiap insan dilahirkan dalam keadaan telah mengikat janji dengan Tuhan. Selain daripada itu, ketika kita membaca doa iftitah di permulaan solat, sebenarnya juga kita sentiasa bermuhasabah diri dengan berAku Janji untuk berakhlak mulia selari dengan standard piawaian yang dikehendaki Allah SWT. Oleh itu, pematuhan kepada Aku Janji ini akan menentukan integriti dan hala tuju pembinaan kualiti modal insan.

Namun persoalan besar timbul ialah sejauh manakah kita menghayati tuntutan Aku Janji atau ikrar berakhlak mulia, menjadi insan soleh, dan mentaati perintah Allah?

Dalam hal ini, perkara utama dalam membina modal insan adalah penentuan matlamat yang tepat dan jelas selari dengan fitrah kewujudan manusia. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “ Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku ”.
(Surah az-Zariyat:56)

Berdasarkan ayat tadi, matlamat utama pembangunan modal insan adalah untuk membangun dan menjadikan manusia itu bertanggungjawab, amanah dalam melaksanakan fungsinya untuk tekun beribadat kepada Allah SWT. Dalam hubungan ini, segala gerak kerja manusia dihitung sebagai ibadat sekiranya didahului dengan niat yang ikhlas kepada Allah SWT bagi mendapatkan keredhaan-Nya.

Selain daripada tekun beribadat, ciri-ciri yang penting untuk mengukur kecemerlangan insan itu ialah melalui kemuliaan dan ketinggian akhlaknya. Dalam sejarah ketamadunan manusia, akhlak merupakan faktor utama yang menentukan jatuh bangunnya tamadun sesuatu bangsa. Contohnya umat Nabi Lut a.s telah dihancurkan oleh Allah SWT kerana terlibat dalam gejala sosial seperti melakukan perbuatan homoseksual. Sebagai umat Islam, kecemerlangan insan boleh dicontohi melalui keperibadian unggul Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah”
(Surah al-Ahzab:21)

Apa yang jelas, manusia yang berakhlak adalah insan yang insaf akan tanggungjawab dirinya terhadap tuhannya yang hak, berakhlak mulia dengan manusia dan berlaku adil terhadap dirinya dan individu lain dalam masyarakatnya.

Rasulullah s.a.w. adalah ketua pemimbing pembinaan akhlak mulia. Justeru, setiap muslim hendaklah menghayati nilai dan akhlak yang dijelmakan dalam keperibadian Rasulullah s.a.w. kerana akhlak baginda telah diiktiraf oleh Allah SWT sebagai contoh ikutan terbaik bagi insan yang sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya.

Islam menjelaskan bahawa manusia itu terdiri daripada dua unsur yang membentuk satu kesatuan iaitu diri rohani dan diri jasmani. Dengan demikian kita perlu ingat bahawa hakikat manusia itu bukanlah semata-mata diri jasmaninya yang sentiasa berubah-ubah tetapi adalah rohaninya yang kekal abadi yang perlu dipelihara dan dibangunkan agar akhlak tidak tercemar atau rosak.

Justeru pendekatan utama dalam proses pembangunan modal insan adalah memenuhi tuntutan diri rohani manusia yang selari dengan Aku janji antara manusia dengan tuhannya. Oleh yang demikian, apabila manusia dapat mematuhi Aku Janji itu, maka manusia akan menjadi insan yang sungguh mulia lagi berhikmah.

Berdasarkan pemerhatian semasa, usaha untuk melahirkan insan soleh dan modal insan yang berkualiti bukan perkara yang mudah, malah menghadapi cabaran yang sangat besar. Cabaran-cabaran itu ialah mengabaikan sikap pendidikan akhlak, menganggap kelemahan moral suatu hak individu, mengamalkan prinsip ’matlamat menghalalkan cara’ untuk kepentingan peribadi dan mengagungkan nilai-nilai barat yang jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi mewujudkan insan soleh dan modal insan berkualiti, adalah diseru semua pihak, marilah sama-sama kita:

  1. Berpegang teguh kepada Aku Janji dalam mentaati titah perintah Allah SWT.
  2. Membudayakan membaca al-Qur’an supaya hati kita terdidik cenderung berakhlak mulia.
  3. Ibu bapa, pemimpin masyarakat, pemimpin politik, pembuat dasar, pendidik, dan umat Islam hendaklah menjadi contoh berakhlak mulia yang tidak dipertikaikan oleh masyarakat.
  4. Bermuhasabah dan membuat penilaian prestasi akhlak diri sendiri dari masa ke masa supaya kita kekal berakhlak sebagai seorang muslim.
  5. Mereka yang mempersendakan-sendakan dan melanggar Aku Janji Allah akan menerima azab seksa sama ada di dunia atau di akhirat.

Maksudnya: ” Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar”.
(Surah al-hujurat:15)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment