Aidil Fitri Kemenangan Hukum Allah

Pada hari ini, umat Islam seluruh dunia bersama-sama melafazkan takbir, tahmid, dan tasbih membesarkan Allah SWT. Zikir ini adalah tanda kesyukuran di atas kejayaan kita mendidik nafsu dalam meraih kelebihan Ramadhan Al-Mubarak yang lalu.

Kalimat-kalimat agung ini dilaungkan berulang kali oleh setiap muslimin dan muslimat semalaman suntuk sejak malam Aidil Fitri. Takbir ini diucapkan oleh golongan tua, muda, kanak-kanak, remaja dan dewasa di mana-mana sahaja mereka berada sama ada di rumah, di surau atau masjid. Kadangkala gema takbir ini diadakan secara perarakan di sesetengah kampung dan taman perumahan.

Untuk lebih menghayati kalimah agung ini adalah lebih baik kita fahami maknanya seperti berikut:

Allah Maha Besar, Allah Maha Hebat, Allah Maha Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Agung itu dan bagi-Nyalah segala puji-pujian. Maha Besar Allah, Maha Terpuji Allah, Maha Suci Allah, baik di waktu pagi atau di waktu petang, baik di waktu yang silam atau sekarang dan di masa-masa yang akan datang.

Tidak ada Tuhan selain Allah, Dia menepati segala janji-Nya, membantu hamba-hamba-Nya yang berjuang menegakkan kebesaran dan kebenaran kalimah-Nya, Maha kuat tentera dan pasukan-Nya, sanggup Dia menaklukkan seluruh tentera dan mana-mana pasukan pun. Tidak ada yang kita sembah selain hanya Allah. Kita ikhlaskan diri menganut agama ini hanya kerana Allah, kerana Dia semata-mata, sekalipun akan mengakibatkan benci dan irihati orang-orang kafir.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, limpahkan jualah selawat dan salam atas junjungan kami Muhmmad SAW, keluarga sahabat dan pengikutnya yang sudah berjuang menegakkan kalimahmu, beribadat menyembahmu, sebagai obor yang menerangi agama, memberi petunjuk dan pimpinan yang cemerlang”.

Kalimah-kalimah tersebut pertama kali dilafazkan oleh Rasulullah SAW dalam khutbah baginda sesudah menawan Kota Mekah. Dalam usaha merampas semula Mekah, Rasulullah SAW membuat persiapan rapi. Rasulullah SAW memimpin 10,000 orang tentera Islam yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar.

Tentera Islam bertolak dari Madinah pada tanggal 19 Ramadan tahun ke-8 Hijrah menuju ke Kota Mekah melalui celah-celah pergunungan dan bukit pasir. Dalam perjalanan itu Rasulullah bergabung pula dengan setiap kabilah yang baginda temui. Akhirnya, tentera Islam memasuki Kota Mekah melalui empat penjuru. Adapun Rasulullah SAW memasuki Kota Mekah melalui Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira tempat turun wahyu pertama. Baginda berhenti sebentar di kubur bapa saudaranya Abu Talib dan di kubur Khadijah r.ha.

Salah satu tanda yang menjadi bukti kebesaran Allah ialah masuknya tentera Islam ke Kota Mekah tanpa sebarang pertempuran dan pertumpahan darah. Hal ini adalah disebabkan hampir seluruh musuh menyerah diri atau lari meninggalkan Kota Mekah. Sebagai tanda kesyukuran baginda terus menuju ke Kaabah untuk bertawaf sebanyak tujuh pusingan dengan menunggang seekor unta.

Setelah selesai bertawaf, baginda masuk ke dalam Kaabah dan berdiri di pintunya sambil berucap kepada kaum muslimin yang sudah berhimpun.

Baginda telah membaca ayat 13 daripada surah al-Hujurat: Maksudnya:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Seterusnya baginda menawarkan kebebasan kepada puak musyrikin Quraish tanpa dijadikan tawanan perang. Rasulullah SAW tidak menghukum dan membalas dendam kepada puak musyrikin Mekah walaupun mereka pernah menzalimi baginda dan melakukan kekejaman terhadap orang muslim.

Kalimat-kalimat agung yang diucapkan oleh Rasulullah sewaktu pembukaan Kota Mekah itu merupakan lafaz takbir yang kita ucapkan pada hari-hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Lafaz takbir yang kita ucapkan pada hari raya ini adalah kerana kita juga merasai kemenangan yang gemilang dalam menunaikan ibadat puasa dan berjaya menundukkan musuh-musuh kita yang bernama hawa nafsu. Bahkan menurut Rasulullah SAW musuh yang bernama hawa nafsu ini jauh lebih berat untuk dikalahkan berbanding musuh berupa pasukan tentera. Malah pemimpin politik yang sukar ditumbangkan atau jeneral tentera yang tidak dapat dikalahkan di medan perang pun dapat dikalahkan oleh hawa nafsunya sendiri.

Insaflah, sambutan Aidil Fitri yang dirayakan di seluruh dunia hari ini adalah sebagai tanda kemenangan dan kejayaan umat Islam melaksanakan perintah Allah SWT. Perintah atau hukum Allah ada bersifat wajib, haram, sunat, harus dan makruh. Ibadah puasa adalah salah satu perintah Allah yang diwajibkan kepada manusia. Berdasarkan pengalaman dan apa yang kita rasai atau hayati sendiri ternyata ibadah puasa memberi banyak kebaikan kepada manusia.

Di saat kita merayakan kemenangan ini, mimbar mengingatkan bahawa perjuangan kita masih belum selesai. Kemenangan pelaksanaan hukum Allah seperti ibadat puasa itu sewajarnya memberi inspirasi dan celik akal kepada umat Islam bahawa hukum Allah boleh dilaksanakan sepenuhnya jika kita bertakwa dan mempunyai keinginan yang bersungguh-sungguh untuk mematuhi perintah Allah.

Begitulah perintah Allah dan hukum-hukum Allah yang lain. Hukum-hukum Allah mengenai larangan minum arak, berjudi, mencuri, merompak, berzina dan sebagainya adalah untuk faedah manusia. Berdasarkan pengalaman kita melaksanakan perintah berpuasa ternyata perintah wajib ini menjadi penanda aras bahawa perintah Allah tidak menzalimi manusia, tidak memudaratkan manusia, tidak menjatuhkan maruah manusia, tidak memalukan manusia tetapi hakikatnya membawa kesejahteraan kepada manusia sendiri, masyarakat dan negara.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang mafhumnya:

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kewajiban, maka janganlah engkau abaikan. Allah SWT juga telah menentukan peraturan hukum, maka jangan engkau melanggarnya. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan engkau melakukannya. Dan Allah SWT juga ada mendiamkan sesuatu perkara kerana kasih sayangnya kepada kamu dan bukan kerana lupa, maka janganlah engkau menimbul-nimbulkannya ”.
(Riwayat Dar al-Qutni)

Hadith tadi menjelaskan kepada kita beberapa pengajaran iaitu:

  1. Setiap muslim wajib menjaga perkara yang telah difardhukan Allah.
  2. Setiap muslim wajib berpegang teguh dengan hukum Allah.
  3. Umat Islam dilarang mendekati dan melakukan perkara yang diharamkan Allah.
  4. Teramat besar rahmat Allah kepada manusia.
  5. Larangan kepada umat supaya jangan terlalu banyak bertanya perkara yang tidak berkaitan.
  6. Sentiasa berpegang kepada hukum Allah melalui amal ibadah.

Namun apa yang mendukacitakan, walaupun lebih 52 tahun kita mencapai kemerdekaan tetapi pemikiran kita masih lagi dijajah oleh nafsu dan pemikiran barat. Pengaruh nafsu pemikiran Barat ini menyebabkan kita masih tidak yakin, dan was-was tentang hukum Allah, mempunyai sifat ‘imperioriti kompleks’ iaitu bersifat malu, rendah diri, hina kendiri atau menganggap hukum
Allah menzalimi manusia atau melanggar hak asasi manusia.

Persoalan besar yang timbul ialah mengapa setiap kali tercetusnya kes-kes yang berkaitan hudud dan Mahkamah Syariah isu ini sering diperbesarkan di seluruh negara. Walhal isu kes merotan dan sebat sudah lama dilaksanakan di penjara-penjara seluruh negara, tetapi tidak ada sesiapa pun yang mempertikaikannya. Malangnya apabila isu ini dikaitkan dengan Islam, berduyun-duyun
puak bernafsu pemikiran Barat yang tidak menyenangi Islam ini menghina Islam dan Mahkamah Syariah.

Oleh yang demikian, sempena sambutan Idulfitri yang merupakan hari kemenangan buat kita semua, adalah menjadi tanggungjawab mimbar untuk mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, jangan kita terjebak dengan sifat fasik, zalim dan kufur. Janganlah kita terikut-ikut dengan tabiat musuh-musuh Islam yang sering berusaha untuk menghapus Islam di dunia ini.

Ingatlah, semasa kita masih ada sisa-sisa hidup, bertenaga dan berkuasa, maka marilah kita berjihad menewaskan nafsu yang menjadi penghalang pelaksanaan hukum Allah. Kita sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana diciptakan dalam keadaan yang cukup sempurna. Sehingga disebabkan kesempurnaan ini, martabat kita diangkat. Ingatlah, kesempurnaan ini tidak membawa apa-apa erti jika kita gagal menggunakan akal dan hati dalam mematuhi segala hukum Allah SWT.

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.
(Ali Imran:133)

Marilah pada hari yang penuh berkat ini kita mensyukuri nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. Sesungguhnya hanya kematian di dalam iman dan Islam sahajalah yang diredhai oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali Imran ayat 102: Bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Kita bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita hamba Allah yang memilih masjid sebagai tempat pertama untuk dikunjungi pada hari raya ini. Selain menunaikan solat Idulfitri dan mendengar khutbah, kita juga bermaaf-maafan antara satu sama lain. Sesungguhnya sikap sedemikian dapat menjernihkan hati dan merapatkan tali persaudaraan. Namun dalam kegembiraan hari raya ini, jangan kita leka bahawa dalam bulan Syawal ini kita sunat melakukan satu lagi ibadah puasa iaitu puasa sunat enam hari.

Amalan ini dianjurkan oleh Nabi SAW sebagaimana sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Ayyob Al-Ansari: Mafhumnya:

Sesiapa berpuasa penuh di bulan Ramadan, lalu diikuti dengan berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Dunia dan khususnya negara kita digemparkan dengan serangan wabak H1N1 sehingga ramai yang terkorban. Ingatlah, semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran agar wabak ini tidak terus berlanjutan. Yang paling utama, kita panjatkan doa melalui solat sunat memohon kesejahteraan dan keselamatan daripada wabak ini berpanjangan. Semoga setiap perkara yang kita lakukan itu mendapat keredhaan Allah dan terhindar daripada
kemurkaan-Nya.

Pada hari ini, marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab ayat 56: Bermaksud:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment