The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Hakikat Orang Yang Miskin

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Bukanlah orang miskin, orang yang pergi dari rumah ke rumah, dia dapat ditolak oleh sesuap dan dua suap makanan, sebiji kurma dan dua biji kurma. Akan tetapi orang yang miskin itu ialah orang yang tidak memperoleh kecukupan yang dapat mencukupkan keperluannya dan tidak diketahui orang tentang kemiskinannya yang menyebabkan orang memberi sedekah kepadanya. Dan dia pula tidak pergi meminta ke sana ke mari (tidak mengulang-ulangi permintaannya kepada orang lain). ”

al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Orang yang miskin adalah orang yang tidak mempunyai kecukupan dan tidak mahu menampakkan kemiskinannya kepada orang lain. Dia tidak mengemis ke sana sini sebaliknya berusaha mencari pendapatan sendiri. Orang sebeginilah yang layak menerima sedekah dan mendapat bantuan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Pemergiannya Satu Istirahat

Abu Qatadah Ibnu Rib’i al-Ansari r.a menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu di hadapan Rasulullah SAW maka berkatalah baginda:

Orang yang beristirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya? Nabi menjawab : “Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya kepada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.”
al-Bukhari dan Muslim

Huraian
Sesungguhnya orang yang meninggal dunia itu terdiri dari dua golongan iaitu golongan orang yang beriman meninggal dunia menuju ke suatu tempat yang aman yang membahagiakan. Mereka sudah terlepas daripada kepayahan dan ujian dunia menuju kepada rahmat Allah SWT. Sedangkan orang yang buruk akhlaknya, kematiannya itu merupakan satu kerehatan untuk penghuni dunia daripada terus berhadapan dengan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukannya. Kematiannya dituruti dengan kesengsaraan dan balasan azab daripada Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Pengamal Rasuah Pengkhianat Negara

Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 Maksudnya:

Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tabrani, Mafhumnya:

Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”.
(more…)