The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Membaca Ummul Kitab

Daripada Ubadah bin as-Samit r.a, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang mengerjakan satu solat yang ia tidak membaca padanya Fathatul Kitab maka solat itu kurang, kurang, tidak sempurna.”
Muslim dan Abu ‘Uwanah

Huraian

Membaca surah al-Fatihah merupakan salah satu daripada 13 rukun solat. Surah tersebut mestilah dibaca dengan makhraj yang betul. Barulah hati akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila dibaca ayat keempat dari Surah al-Fatihah yang bermaksud: “Tuhan yang memiliki hari Akhirat.” Maka tergambar segala kekalutan, kesibukan dan huru-hara manusia yang bersesak di padang Masyhar. Terasalah akan kekerdilan dan kelemahan diri di sisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah al-Fatihah yang bermaksud : “Engkaulah yang ku sembah dan Engkaulah tempat ku bermohon.” Bererti kita telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukan menjadi penyembah hawa nafsu atau selainnya. Ringkasnya membaca surah al-Fatihah dalam solat adalah wajib. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana dengan bacaan tersebut menjadikan diri kita insaf sekali gus menjamin kita daripada lalai di dalam solat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Perpaduan Menjamin Kemakmuran Negara

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini. Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran untuk melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Sebab itu apabila terdapat umat yang bersatupadu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 14: Maksudnya:

Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, melainkan dikampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.”
(more…)

Beramal Dengan Surah Al-Kahfi

Daripada al-Barra r.a katanya:

Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : “ Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran.”
al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi

Huraian
Dalam surat al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi, (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s serta kisah DZulkarnain dan Ya’juj dan Ma’juj. Dalam beberapa hadith, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).
(more…)

Jangan Kedekut Atau Tamak

Abu Hurairah r.a berkata:

Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW maka bertanyalah ia:
“Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?
Nabi menjawab: “Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila roh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau: “Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si polan itu telah memilikinya
.”
al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Islam menganjurkan kita agar bersedekah dalam keadaan sihat. Kerana sesungguhnya bersedekah dalam keadaan sihat itu lebih besar pahalanya daripada bersedekah dalam keadaan sakit dan menampakkan lagi keikhlasan kita dalam melakukan kebajikan di jalan Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Toleransi Dengan Orang Bukan Islam Suatu Tuntutan Dakwah

Sebagai agama yang sempurna, Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan cara hidup dalam masyarakat majmuk. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu pula Allah SWT mengajarkan konsep toleransi, dengan tujuan wujudnya perdamaian umat manusia di muka bumi ini.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An’aam ayat 108, maksudnya:

Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Kita ditegah mencemuh atau mengejek mereka, kerana mereka akan membalas penghinaan tersebut. Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.

Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.
(more…)