The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Menghayati Kesan Ramadan

Kini kita sudah berada pada tanggal 6 Syawal. Ramadan baru sahaja berlalu, ianya pasti meninggalkan kesan mendalam di dalam jiwa orang-orang mukmin. Didikan Ramadan yang mendisiplinkan diri kita dari mula bangun bersahur sehinggalah kita hendak tidur semula, memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti. Alangkah elok dan baiknya, sekiranya kita dapat mengekalkan rutin harian sepertimana hari-hari Ramadan yang kita lalui selama sebulan yang lalu.

Ramadan yang dipenuhi dengan tuntutan-tuntutan fardhu mahupun sunat seperti solat fardhu berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, bermurah hati dengan sedekah dan amal jariah, istiqamah dalam tilawah al-Quran dengan menyertai majlis-majlis tadarus, rajin berqiamullail dan berbagai-bagai ibadah lain seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih, berselawat dan memperbanyakkan doa; dapat kita teruskan di bulan-bulan yang akandatang.

Walaupun hampir seminggu telah berlalu, kemeriahan Idulfitri masih dapat dirasakan. Ramai di kalangan kita pada masa ini berebut-rebut mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka, menjemput sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan serta saling berkunjung-kunjungan. Amalan ziarah menziarahi disemarakkan. Sememangnya budaya mulia ini telah menjadi tradisi bagi masyarakat kita.
(more…)

Aidil Fitri Kemenangan Hukum Allah

Pada hari ini, umat Islam seluruh dunia bersama-sama melafazkan takbir, tahmid, dan tasbih membesarkan Allah SWT. Zikir ini adalah tanda kesyukuran di atas kejayaan kita mendidik nafsu dalam meraih kelebihan Ramadhan Al-Mubarak yang lalu.

Kalimat-kalimat agung ini dilaungkan berulang kali oleh setiap muslimin dan muslimat semalaman suntuk sejak malam Aidil Fitri. Takbir ini diucapkan oleh golongan tua, muda, kanak-kanak, remaja dan dewasa di mana-mana sahaja mereka berada sama ada di rumah, di surau atau masjid. Kadangkala gema takbir ini diadakan secara perarakan di sesetengah kampung dan taman perumahan.

Untuk lebih menghayati kalimah agung ini adalah lebih baik kita fahami maknanya seperti berikut:

Allah Maha Besar, Allah Maha Hebat, Allah Maha Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Agung itu dan bagi-Nyalah segala puji-pujian. Maha Besar Allah, Maha Terpuji Allah, Maha Suci Allah, baik di waktu pagi atau di waktu petang, baik di waktu yang silam atau sekarang dan di masa-masa yang akan datang.
(more…)

Mencari Malam Lailatul Qadar

Bulan Ramadan adalah bulan yang dipenuhi keberkatan. Walau bagaimanapun di dalam bulan ini terdapat satu hari yang paling suci iaitu malam Lailatul Qadar. Pahala beribadah di malam ini menyamai seribu bulan iaitu lapan puluh tiga tahun. Bahkan sepanjang setahun, malam ini juga adalah hari yang terbaik dalam kehidupan manusia.

Sedarkah kita semua bahawa Allah SWT telah memuliakan kita pada malam ini. Malam Lailatul Qadar mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim. Menurut pandangan sebahagian besar ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam Lailatul Qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui perantara Jibril a.s. sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun.

Bagi orang yang beriman, pada malam itu adalah peluang untuk mereka mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba untuk bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.
(more…)

10 Malam Terakhir Meriahkan Dengan Ibadat

Aisyah r.a berkata :

“Nabi SAW apabila memasuki puluhan yang akhir, baginda mengikat pinggangnya (tekun beribadah) menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.”

al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Apabila telah memasuki puluhan terakhir bulan Ramadhan Rasulullah SAW akan lebih tekun dalam melakukan ibadah dan menjauhi isteri-isteri baginda. Baginda terus berjaga malam serta membangunkan ahli keluarga untuk turut bersama-sama melakukan qiamullail.

Namun sebaliknya kita apabila semakin menjelang Syawal dan semakin beransurnya Ramadhan akan memeriahkan siang dan malam dengan membuat bermacam-macam persediaan menyambut hari raya. Membuat aneka biskut, kek, lauk pauk dan sebagainya.

Mengapa tidak kita mengikut sunah Rasulullah ini dan menghidupkan malam–malam di bulan Ramadhan ini dengan aneka rupa ibadat serta mengajak ahli keluarga untuk turut sama memeriahkannya kerana hal ini lebih bermakna untuk hari raya kita di akhirat kelak!

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kelebihan Bersahur

Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Hendaklah kamu semua makan sahur, sesungguhnya dengan bersahur itu akan beroleh keberkatan.”

al-Bukhari dan Muslim

Huraian

Umat Islam disunatkan untuk makan sahur sama ada bagi puasa wajib mahupun puasa sunat, sekalipun mengambil sedikit sahaja dari makanan atau pun minuman. Hikmah disunatkan makan sahur ke atas orang yang hendak berpuasa ialah untuk memberi kecergasan dan memperbaharui niat untuk berpuasa pada esok harinya. Orang yang berpuasa dan makan sahur pada waktunya dengan niat kerana Allah, nescaya Allah akan memberikan rahmat dan keberkatan di dalam hidupnya dan inilah kelebihan yang tidak diperolehi melainkan bagi orang-orang yang bersahur sahaja.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia