The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Syahid Kerana Mempertahankan Harta

Daripada Abdullah ibn Amir r.a katanya :

“Aku mendengar nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia itu syahid.”

al-Bukhari 46:33 ; Muslim 1: 60

Huraian:

Orang yang meninggal dunia lantaran mempertahankan harta dihukum sebagai syahid di akhirat. Manakala syahid di dunia dan akhirat pula adalah khusus bagi mereka yang meninggal dunia (terkorban) dalam pertempuran iaitu demi mempertahankan agama dan umat Islam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jiran Sebagai Harta Yang Bernilai Tinggi

Kehidupan kita dalam seharian adalah seperti roda, sentiasa berputar, bergilir-gilir turun naik dan jatuh bangun. Hari ini kita senang dan mungkin esok kita mengalami kesusahan. Kita perlu ingat bahawa putaran hidup manusia adalah tidak menentu dan tidak dapat diramalkan nasibnya. Dengan demikian kita tidak boleh hidup secara bersendirian, tidak boleh mengasingkan diri dalam masyarakat.

Ajaran Islam menuntut kita bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memain peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, maka jiran samada kaya atau miskin adalah harta atau aset yang amat bernilai tinggi kepada kita sendiri dan masyarakat. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa’ ayat 36, Maksudnya:

“Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.
(more…)

Rumahku Syurgaku

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah itu bahagia.”

al-Bukhari

Huraian

  • Rumahku syurgaku adalah rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.
  • Ada beberapa tempat, yang jika dilakukan ibadah di dalamnya, akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain seperti solat di Masjidil Haram, setara dengan seratus ribu solat di tempat lain. Solat di Masjid Nabawi, setara dengan seribu solat di tempat lain dan solat di Masjid al-Aqsa, setara dengan lima ratus kali solat di tempat lain. Solat yang paling utama dilakukan di masjid itu adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.
  • Waktu di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangun masyarakat muslim. Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabunagn isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Walimatul Urus

Dari Anas bin Malik r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya:

“Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.”

Muttafaqun alaih

Huraian

Pada masa dahulu dengan menjelangnya musim cuti sekolah, maka satu acara yang agak sinonim dengannya adalah adanya majlis-majlis kenduri kahwin (walimatul urus). Walaupun begitu dewasa ini majlis kenduri kahwin akan diadakan walaupun bukan ketika cuti sekolah.

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin.
(more…)

Rahsia Kebersihan Jiwa Dalam Israk Mikraj

Menurut sebahagian ulama, Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1: Maksudnya:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersih hati daripada ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin, Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.
(more…)