The Hello Bar is a simple web toolbar that engages users and communicates a call to action.

Larangan Meminta-minta Mati

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.”

~ Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian

Pengajaran hadith:

  • Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
  • Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
  • Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Merancang Kehidupan Hakiki

Semua orang perlu diingatkan betapa pentingnya kita merancang kehidupan hakiki iaitu kehidupan akhirat. Sedarilah bahawa kehidupan dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya. Justeru itu, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat.

Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya. Oleh itu, kita perlu sentiasa memuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:
(more…)

Kebajikan Dan Keburukan

Musaddad menyampaikan kepada kami, dari Abdul Aziz bin Mukhtar, dari Khalid al-Hazza’, dari Akramah katanya:
”Abdullah bin Abbas berkata kepada aku dan anaknya Ali: ”Kamu berdua dengarlah hadith (daripadanya). Maka kami berdua pun pergi dan ketika itu Abu Said sedang membersihkan halaman. Ia mengambil selendangnya lalu duduk. Selepas itu ia mula menyampaikan hadith hingga sampai kepada membicarakan binaan masjid.

Beliau berkata: ”Kami membawa batu-bata sekeping demi sekeping dan Ammar pula membawa dua batu bata (sekaligus), maka Nabi s.a.w melihatnya lalu baginda mengibas-ngibas tanah daripadanya sambil bersabda: ”Kasihan Ammar, puak pelampau ingin membunuhnya sedangkan ia menyeru mereka kapada syurga dan mereka menyerunya kepada neraka.

Abu Said berkata, Ammar menjawab: ”Aku berlindung dengan Allah daripada segala fitnah.”

Bukhari

Huraian

Ada banyak orang yang diberi hidayah oleh Allah dengan melakukan perbuatan baik berupa kebajikan dan banyak orang yang tertipu kerana perbuatan buruknya yang dirasakan baik. Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
(more…)

Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Mati

Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda:

“Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)”; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda:

“Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan – baik atau buruk”, kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya:

“Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya.”

~ Ummi Salamah

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Perpaduan Menjana Kecemerlangan Ummah

Islam adalah agama perpaduan dan persaudaraan. Oleh itu ciri utama dalam semua ibadat adalah berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji di antara lain adalah untuk membina ukhuwah dan perpaduan di antara satu sama lain. Justeru, maka Allah mengisyaratkan bahawa setiap orang mukmin adalah bersaudara. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang beriman diikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan kekeluargaan. Mereka berkewajipan untuk memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan saling membantu dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah “HATI GAJAH SAMA DI LAPAH, HATI KUMAN SAMA DI CICAH”. Inilah ciri persaudaraan Islam unggul yang di bina oleh Nabi S.A.W. ketika berhijrah ke Madinah.
(more…)