Segalanya Terletak Pada Hati

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

”Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.”
(Muslim)

Huraian
Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada (heart). Ia berfungsi sebagai peneutral darah. Imam al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani.

Dia berkata:”Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan dari kotoran-kotoran batin dan maksiat, padahal Allah hanya memandang hati mereka sebagaimana firman Allah dalam surah asy-Syams ayat 7-10.”

Hati di ibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua aktiviti seseorang. Jika hati baik maka akan baiklah kelakuan seseorang itu dan jika sebaliknya maka buruklah peribadi seseorang itu.

Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah yang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment