Menjaga Keselamatan Orang Ramai

Daripada Musa bin Ismail, dari Abdul Wahid, dari Burdah bin Abdullah, dari bapanya dari nabi s.a.w, baginda bersabda:”Sesiapa melintas di masjid-masjid atau di pasar-pasar kami dengan membawa anak panah maka hendaklah ia memegang mata anak panahnya dengan tapak tangannya supaya tidak melukakan seseorang Islam.”
(Bukhari)

Huraian
Masjid ataupun tempat-tempat awam seperti pasar, bank dan sebagainya merupakan tempat selamat tanpa perlu diragui akan berlakunya kemalangan dan sebagainya. Namun tidak kurang ada yang tidak prihatin soal keselamatan orang ramai dengan membawa sesuatu yang boleh membahayakan contohnya senjata tajam atau senjata api sehingga membabitkan kemalangan seperti luka akibat terpijak, tertusuk atau tertembak.

Ini dikecualikan bagi jenayah terancang yang biasa berlaku seperti rompakan di bank dan tembakan rambang yang dilakukan di kawasan-kawasan awam yang sememangnya bersifat tidak berperi kemanusiaan. Perkara paling patut dielakkan ialah daripada bersikap mementingkan diri sendiri dengan membawa sesuatu peralatan dengan niat untuk menjaga keselamatan diri tetapi alat itu tidak dijaga dengan baik sehingga mengancam nyawa dan keselamatan orang lain.

Sesungguhnya Islam amat mementing nyawa manusia dan memperuntukkan undang-undang khusus berkaitannya. Setiap kemalangan yang berlaku sama ada disengajakan ataupun tidak tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment