Gaya Hidup Sihat

Islam adalah agama sahih yang amat menitikberatkan kesejahteraan manusia termasuklah dalam menentukan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal dan kerohanian akan menentukan prestasi pekerjaan dan tempoh hayat seseorang. Dengan demikian, kesihatan menjadi harta yang amat bernilai dalam kehidupan seseorang.

Pemakanan yang berlebihan atau kandungannya yang tidak seimbang sering menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya.

Perkembangan penyakit kronik di negara kita amat membimbangkan. Sebagai contoh, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa ini terdapat 1.3 juta pengidap kencing manis di negara kita dengan nisbah setiap 10 orang terdapat seorang berpenyakit kencing manis.

Untuk mengawal keadaan ini ke arah mengekalkan prestasi kesihatan yang lebih baik, maka Islam menggalakkan umatnya bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman.

Selain pemakanan, bersukan atau beriadah juga adalah sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya supaya menggamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian dengan Islam. Ini bertepatan dengan saranan Saidina Umar R.A yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani:

Mafhumnya: ““Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.”

Ini adalah seruan yang jelas bahawa Islam meletakkan kepentingan beriadah dalam melatih umatnya dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Pepatah Melayu ada menyebut: “Minda Yang Cerdas Bermula Dari Badan Yang Sihat.” Justeru, gaya hidup sihat dalam Islam juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti berwudhuk, bersolat, berpuasa dan sebagainya.

Orang Islam digalakkan bersuci dengan berwudhuk dan membersihkan badan. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk-habuk daripada terus melekat di badan atau di dalam rongga-rongga. Sesungguhnya amalan berwudhuk lima kali sehari ini selari dengan tuntutan ilmu kesihatan.

Selain amalan berwudhuk, solat fardhu lima waktu dan solat sunat (nawafil) yang lain juga berkeupayaan memberi ketenangan dan mengawal tekanan hormon dalam badan manusia. Solat yang khyusuk mampu memberi kesegaran kepada anggota badan dan membina kecergasan minda.

Solat yang khyusuk adalah solat yang sempurna yang melibatkan tumpuan penuh fizikal dan hati kepada Allah SWT. Dalam usaha mencapai hakikat khyusuk ini, maka kita hendaklah bermula dari amalan mengambil wudhuk dengan sempurna, melaksanakan solat dengan cermat dari segi bacaan, qiyam, rukuk, iktidal, sujud, thoma’ninah serta memahami isi bacaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’aarij ayat 19:

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang.”

Berdasarkan ayat ini, ternyata keistimewaan amalan ibadah khusus membuktikan bahawa Islam telah menyediakan pakej penjagaan kesihatan fizikal (jasmani) dan spiritual (rohani) yang begitu diperlukan oleh manusia sejagat tanpa perlu taksub kepada konsep penjagaan kesihatan yang lain.

Solat khyusuk secara zahirnya adalah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan penuh adab dan penghormatan. Kerana Dia adalah Raja di dunia dan Raja di akhirat, Raja yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa. Solat yang mencapai tahap khyusuk, bukan sahaja memberi kesan baik dalam hubungan kita dengan Allah SWT, malah berupaya membentuk keperibadian muslim yang unggul.

Bukan sekadar itu sahaja, beberapa kajian daripada pakar-pakar perubatan telah memperakukan bahawa puasa Ramadan dan puasa-puasa sunat yang lain, memberi kesan yang amat baik untuk kesihatan manusia.

Bahawa mewujudkan hubungan yang harmoni dalam masyarakat dan mengekalkan persekitaran bersih adalah gaya hidup sihat yang dituntut dalam Islam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu membuang air kecil di tempat air yang tidak mengalir dan kemudiannya kamu berwudhuk pula di situ” menunjukkan betapa pentingnya umat Islam sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan diri. Suci tetapi tidak bersih atau bersih tetapi tidak suci, boleh menjejaskan amal ibadah.

Secara umumnya Islam mengharuskan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat selagi amalannya selari dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Namun jika amalan gaya hidup sihat itu mencemari akidah dan syariah seperti adanya aktiviti atau pergerakan pemujaan, jampi serapah, mendedah aurat dan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan, maka ia adalah HARAM.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pernah mengharamkan beberapa kegiatan yang diamalkan oleh umat Islam antaranya Silat Nasrul Haq, Seni Bina Diri Al-Ma’unah, Silat Azhar Wahab dan Silat Gerak Kilat yang di dapati menyimpang daripada akidah Islamiah.

Justeru itu, umat Islam diingatkan agar tidak mempertikaikan pengharaman senaman Yoga yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan baru-baru ini. Apa yang nyata, pengharaman yang dibuat tiada kaitan sama sekali untuk mencampuri urusan agama dan budaya penganut agama lain, tetapi semata-mata untuk memelihara akidah dan martabat umat Islam.

Umat Islam diseru agar memberi sepenuh perhatian dan mengambil langkah berikut bagi menjamin amalan gaya hidup sihat iaitu:

  1. Amalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat.
  2. Amalkan pemakanan sederhana dan seimbang.
  3. Pastikan amalan gaya hidup sihat tidak berlawanan dengan akidah dan hukum syarak; dan
  4. Sentiasa merujuk kepada ulamak atau orang alim, supaya gaya hidup kita diberkati Allah SWT dan disenangi oleh umat Islam.

Firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8:

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment