Adab Bertamu

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:

”Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah.”
(At-Tabrani)

Huraian

  1. Semulia-mulia manusia adalah mereka yang beradab dan tahu tata tertib setiap perkara yang dilakukannya.
  2. Islam mengambilkira segala hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia termasuklah aspek hubungan sosial mereka dan mengajarkan adab-adab yang tertentu demi mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.
  3. Adab dalam berziarah contohnya disebutkan secara terperinci iaitu;
    i) Memberi salam terlebih dahulu
    ii) Mengetuk pintu perlahan-lahan dan tidak melebihi tiga kali
    iii) Berdiri bersebelahan pintu kerana dibimbangi jika yang membuka pintu itu adalah orang yang bukan muhrim 
    iv) Tidak masuk melainkan setelah mendapat keizinan
    v) Tidak mengintai atau mengendap ke dalam rumah 
    vi) Duduk di tempat yang disediakan kerana tuan rumah lebih maklum tentang keadaan rumah mereka.
  4. Berkunjung sebagai tetamu hendaklah memilih masa yang sesuai agar ia tidak menimbulkan keberatan kepada tuan rumah lebih-lebih lagi jika kedatangan tersebut didapati mengganggu urusan penting yang hendak dilaksanakannya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Comment